New Zealand terkenal dengan pemandangan indah. Udaranya juga bersih dan segar. Negara berkenaan juga dikenali ramai kerana susu lembu Friesian yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia sejak kecil.
Produk tenusu ini serta hubungan akrab antara rakyat inilah yang menjadi penghubung penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Pada zaman Darurat di Malaya antara 1948 hingga 1960 dan Konfrontasi pada 1960-an, askar dari New Zealand turut dikerah membantu pasukan keselamatan kita.
Hingga sekarang anggota veteran perang New Zealand itu yang masih hidup tetap meraikan ulang tahun khidmat di Malaya itu pada setiap tahun yang dianjurkan di setiap bandar raya.
Selain itu, menurut Penasihat Kedutaan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, James Koh, krisis ekonomi pada 1990-an juga menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia berhijrah ke negara berkenaan untuk bekerja ataupun membuka perniagaan.
Mereka kini menetap di beberapa bandar di New Zealand dan mewujudkan rangkaian perhubungan manusia yang merapatkan lagi kedua-dua negara.
Di samping Malaysia, industri tenusu dari New Zealand turut berkembang pesat di negara rantau ASEAN, Arab Saudi, India dan China. Kira-kira dua pertiga daripada ekonomi New Zealand adalah berasaskan industri eksport dan sebahagian besarnya barangan tenusu, daging lembu dan buah-buahan.
“New Zealand adalah negara yang berasaskan daging dan sudah tentunya bagi mereka isu halal adalah sesuatu yang amat penting.
“Selain memperoleh pengesahan halal daripada Persekutuan Islam di sini, pengeluar bahan tenusu seperti Fonterra juga mendapat pengesahan halal di negara tempat barangan itu dieksport seperti di negara ini, pihak berkuasa berkenaan adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” kata Koh dalam pertemuan dengan wartawan dari Malaysia yang mengunjungi Suruhanjaya Tinggi itu di Wellington, baru-baru ini.
Ini menyebabkan Malaysia mempunyai banyak potensi hubungan perdagangan baik dengan negara berkenaan.
Ketua Pengarah Bahagian Selatan dan Asia Tenggara, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Luar New Zealand, Stephen Harris, yang ditemui secara berasingan turut menyatakan Malaysia adalah pasaran halal penting untuk negara berkenaan.
Menyedari betapa pentingnya pasaran itu, Harris menegaskan, New Zealand perlu memastikan semua kilang pemerosesan dagingnya juga mematuhi peraturan halal.
Selain produk tenusu, New Zealand juga menjadi antara destinasi penting pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran mereka.
Ramai yang berjaya melanjutkan pelajaran di bawah Pelan Colombo pada 1960-an dan kebanyakan daripada mereka sudah pun keluar dan memegang jawatan kanan dalam perniagaan, bidang profesional ataupun pentadbiran kerajaan ketika ini.
Antara mereka termasuk bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Dr Sulaiman Daud dan tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad. Universiti Victoria pula mempunyai Kursi Pengajian Melayu bagi membolehkan penyelidikan dilakukan dalam bidang berkenaan.
Secara umumnya, pada 2012, terdapat 2,300 pelajar antarabangsa berbayar Malaysia di negara berkenaan dengan pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dari Malaysia adalah yang ketiga terbesar di negara itu.
Satu pertiga pelajar berkenaan ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam jurusan perubatan dan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua atau TESL serta pertanian.
“Saya percaya menerusi hubungan dua hala ini dan antara pelajar, Malaysia boleh mencontohi model pendidikan diguna pakai di New Zealand dalam usaha kita menambah baik bidang pendidikan kita,” kata Koh.
Beberapa pusat pengajian swasta juga mengadakan program berkembar dengan universiti di New Zealand dalam bidang perakaunan dan kewangan.
Dari segi perdagangan, sehingga Disember lalu, Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar New Zealand yang mana negara berkenaan mengeksport NZ$912 juta (RM2.5 bilion) susu tepung, ekstrak malt, mentega dan bahan tenusu.
Negara Kiwi pula mengimport dari Malaysia barangan berasaskan minyak dan petroleum serta produk elektronik (televisyen, komputer, telefon/telefon selular) bernilai NZ$2 bilion (RM5.6 bilion).
Selain itu, beliau menambah, program bercuti sambil bekerja di New Zealand yang dilancarkan sejak 1996 lalu kini semakin popular dalam kalangan golongan remaja di negara ini.
“Tujuan utama mereka adalah untuk bercuti, tetapi dibenarkan bekerja bagi membiayai percutian itu. Ia adalah untuk jumlah minimum seramai 1,150 remaja dari Malaysia untuk melancong dan bekerja di New Zealand selama enam bulan.
“Mereka bekerja di ladang, mengutip buah-buahan ataupun bekerja di hotel dan restoran makanan segera,” katanya.
Penasihat Kedutaan Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu juga menyatakan New Zealand berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat memenuhi undangan rakan sejawatannya untuk melawat negara berkenaan sebelum pilihan raya umum tahun ini. - Berita Harian, 17 Mac 2014
-
Mod Aris dilantik sebagai Datuk bandar Winsford Jocelyn Yow Baru-baru ini media heboh memperkatakanmengenai wanita berdarah Malaysia, Joc...
-
Buat julung kalinya GiatMARA mengambil inisiatif untuk memulihara dan mempraktikkan seni pembuatan kapal layar hasil tunjuk ajar seorang pem...
-
Pada 15 Disember 2020 lalu kita dikejutkan dengan pemergian tokoh tersohor negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid pada usi...