Malaysia yang bakal mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015 akan memikul tanggungjawab lebih besar kerana Kuala Lumpur menjadi hos kepada pelancaran Komuniti ASEAN, selaras dengan Deklarasi Sidang Kemuncak Cha-AM/Hua Hin di Thailand.
Pelancaran yang dijangka berlangsung pada Sidang Kemuncak
Kedua di Kuala Lumpur pada November tahun hadapan, akan membuka lembaran baharu
dalam hubungan negara ASEAN kerana segala perancangan negara anggota akhirnya
menjadi realiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan
ucaptama pada Kolokium Kebangsaan Mengenai Kepengerusian ASEAN, Selasa lalu,
menyifatkannya sebagai detik bersejarah.
Ia menandakan berakhirnya usaha selama lima tahun oleh 10
negara anggota ASEAN untuk membentuk komuniti berteraskan rakyat, termasuk
mencapai kata sepakat negara anggota yang bakal menjadi hos kepada Kejohanan
Piala Dunia pada 2036.
Pada tahun hadapan, Malaysia akan menjadi tuan rumah latihan
bersama negara ASEAN bagi menangani bencana besar yang sebelum ini dijalankan
di Filipina, Indonesia dan Thailand.
Walaupun Malaysia tidak menghadapi bencana besar seperti
tsunami yang pernah melanda Aceh dan negara jiran lain, ia tak bererti kita
tidak perlu membuat persediaan. Untuk tujuan itu, Malaysia memerlukan sokongan
dan bantuan aset serta dana negara anggota lain.
Memandangkan Malaysia kini berhadapan insiden kehilangan
pesawat MH370, dijangkakan latihan bersama menangani bencana itu akan meliputi
operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mungkin ramai tertanya-tanya apakah kesan pembentukan
Komuniti ASEAN itu kepada rakyat di negara ini dan apa kebaikannya bagi negara
anggota? Apakah Komuniti ASEAN itu akan mempunyai ciri seperti Kesatuan Eropah
(EU) atau komuniti negara maju di tempat lain?
Turut menjadi kebimbangan adalah aliran keluar masuk
pendatang asing dari negara ASEAN yang selepas ini menjadi lebih mudah. Apa
pula kesan dan maknanya pembentukan Komuniti ASEAN itu kepada kita?
Dari segi
perniagaan, apakah dengan pewujudan Komuniti ASEAN itu boleh memudahkan segala
urusan?
Di sebalik segala kebimbangan itu, Ketua Pengarah
Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob,
berkata yang jelasnya, Komuniti ASEAN tidak akan menjadi seperti EU.
EU ada Parlimennya sendiri, mahkamah hak asasi manusia dan
mata wangnya sendiri sedangkan Komuniti ASEAN hanya sekadar kerjasama lebih
erat antara kerajaan.
Apa yang lebih penting, tambah Muhammad Shahrul ialah di
bawah setiap tonggak politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, ada tindakan
yang perlu dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN.
Sejak Sidang Kemuncak Cha-Am/Hua Hin pada tahun 2009, setiap
negara anggota memberi komitmen untuk melaksanakan tonggak berkenaan menjelang
2015. Sehingga kini, kadar pelaksanaannya adalah 78 peratus bagi tonggak
politik/keselamatan, 79 peratus untuk ekonomi dan 88 peratus sosiobudaya.
“Apabila semua tonggak ini sudah dilaksanakan, barulah dapat
kita melancarkan Komuniti ASEAN. Bagaimanapun, ia tidak bermakna negara anggota
perlu mencapai sasaran 100 peratus bagi membolehkannya menjadi sebuah
komuniti,” katanya.
Muhammad Shahrul menambah, sebuah Majlis Kerja Komuniti
ASEAN (ACCWG) yang dianggotai pegawai kanan negara anggota sedang memperhalusi
pelaksanaan gagasan berkenaan dan langkah susulan.
“Atas sebab itu juga kita menganjurkan kolokium ini bagi
mendapatkan pandangan, maklum balas serta kupasan mengenai kerjasama lebih erat
negara anggota menjelang penubuhan Komuniti ASEAN,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah, Komuniti Politik-Keselamatan,
Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Raja Datuk Nazrin Aznam, menjelaskan
dengan adanya gagasan berkenaan, produk kita mungkin boleh dipasarkan di negara
ASEAN dengan lebih mudah membabitkan pasaran 660 juta orang.
Dari segi lawatan dalam kalangan negara anggota, kelonggaran
syarat visa yang sudah dilaksanakan kebanyakan negara juga dijangka
diperluaskan lagi. Bahkan perbincangan sedang dilakukan pada peringkat awal
bagi mewujudkan visa tunggal bagi pelawat dari luar yang ingin melawat negara
anggota ASEAN.
Raja Nazrin juga menjangka produk halal akan mendapat
pasaran lebih meluas dalam kalangan negara anggota, malah logo halal yang
dikeluarkan oleh Malaysia juga akan mendapat pengiktirafan lebih meluas pada
peringkat antarabangsa. - Berita Harian, 12 April 2014