Thursday, 10 April 2014

Kita peroleh pelbagai pengajaran daripada insiden MH 370 - Fuzi Razak

Temuramah dengan Ketua Setiausaha Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Wartawan:  Apa pandangan Tan Sri mengenai imej Malaysia pada  peringkat antarabangsa sekarang?

Fuzi:  Imej sesebuah negara pada  peringkat antarabangsa pada asasnya ada kaitan dengan kekuatannya dari segi intelektual, politik, ketenteraan, ekonomi dan teknologi dan bagaimana kekuatan pelbagai dimensi dan pengaruh ini dapat digunakan pada  peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Malaysia mempamerkan imej yang secara perbandingannya baik pada  peringkat antarabangsa sebagai sebuah kuasa sederhana berikutan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan kemajuan sosioekonomi yang dicapai sejak merdeka. Kita juga bebas daripada bencana alam semula jadi seperti gempa bumi, puting-beliung, taufan dan kebakaran hutan, bahkan salji tebal yang menimpa negara membangun dan sedang membangun. Sudah tentunya kita juga dicemburui  kebanyakan negara sedang membangun lain. Malah, pertikaian politik dalaman kita yang berlaku berikutan perbezaan pendapat politik dan banjir yang berlaku pada musim tengkujuh juga tidak dianggap cukup besar bagi mendapatkan liputan media antarabangsa sehingga boleh menjejaskan imej Malaysia pada  peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya bersyukur di atas kurniaan Allah SWT ini. Semua ini, bagaimanapun, tidak bermakna segala-galanya baik belaka di negara pelbagai etnik seperti Malaysia.
Justeru adalah wajar kita sentiasa berwaspada mengenai cabaran yang mungkin menimpa kita akibat faktor luaran dan perubahan nasib kita secara mendadak yang boleh berlaku di luar kawalan kita seperti krisis kewangan dan tragedi MH370 sekarang, dan kesannya ke atas imej negara dari segi jangka pendek dan jangka panjang. Saya percaya usaha untuk mengekalkan imej Malaysia ini adalah tanggungjawab semua dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Apa yang lebih penting adalah kesanggupan dan kemampuan rakyat untuk berasa patriotik dan mempunyai ketahanan bagi menyumbang kepada mempertahankan kepentingan Malaysia seberapa daya yang boleh. Adalah menyedihkan apabila kita lihat adanya segelintir rakyat Malaysia  berfikiran cetek, termasuk yang cerdik, tetapi tidak bijak yang sentiasa cuba mencari apa sahaja kesalahan yang mereka lihat di negara ini, tidak kira sekecil mana sekalipun, dengan tujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai menerusi media sosial dengan secara tidak terkawal dan ini boleh menjejaskan imej kita pada  peringkat antarabangsa.        

 S: Berikutan isu berkaitan pesawat Penerbangan Malaysia, MH 370, nama Malaysia gah dikenali di  seantero dunia, sama ada untuk tujuan betul ataupun tidak betul. Di sebalik kritikan pelbagai pihak, nampaknya setakat ini kita masih mampu mengendalikan krisis berkenaan dengan sebaik mungkin walaupun tidak pernah mengalami insiden sebegini sebelum ini. Boleh Tan Sri memberi pandangan mengenai isu berkenaan?
J: Dari segi publisiti, anda memang betul bahawa Malaysia kini semakin dikenali pada  peringkat global berikutan kejadian MH370. Insiden itu membawa Malaysia sebagai negara yang dikenali dalam tempoh hanya sebulan, lebih daripada apa yang agensi pelancongan kita boleh buat bagi mempromosi negara kita. Adalah malang, pengendalian insiden berkenaan menjadi bertambah rumit bagi kita pada  peringkat permulaan daripada apa yang dijangkakan sekiranya pesawat berkenaan dijumpai pada hari berikutnya selepas ia hilang. Situasi berkenaan menjadi bertambah teruk dengan adanya pengkritik yang hanya pandai bercakap dan elemen antinasional yang menimbulkan kelemahan dan memberi maklumat bercanggah dalam tragedi yang sentiasa berubah itu, dengan tujuan untuk mengkritik Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda politik mereka. Walaupun kita tidak seharusnya memberi alasan di atas kegagalan kita, wajar kita mengimbas kembali bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat sendiripun pernah kecoh ketika mengendalikan tragedi Taufan Katrina pada 2005, dengan pengalaman yang ada pada mereka dalam menangani bencana alam seumpama!

Justeru saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di atas kemampuannya mengendalikan pihak media dalam isu ini sehingga ada kalangan peminat yang melihatnya sebagai berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti! Berikutan kenyataan  dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,  baru-baru ini,  bahawa pesawat berkenaan ‘menamatkan’ penerbangannya di Lautan Hindi, sampai sekarangpun kita masih lagi belum tahu cerita sebenarnya sehinggalah pesawat itu dijumpai. Buat masa ini ia kekal sebagai satu misteri yang bukan sahaja untuk anggota keluarga 239 krew dan penumpangnya, bahkan bagi semua kerajaan yang terbabit. Tidak ada kejadian seumpama pernah terjadi yang begitu hebat dalam sejarah penerbangan. Saya tidak pasti sama ada kita boleh mengetepikan sebarang keajaiban kerana ia boleh dan pernah berlaku! Bagaimanapun bukan niat saya untuk menyatakan yang saya percaya pada teori spekulasi yang dihebohkan  media sosial berhubung peranan ‘tangan tersembunyi’ dalam misteri ini yang masih belum dapat dirungkaikan! Apapun, adalah menjadi harapan kita agar akan berlaku keadilan kepada kita sekiranya sebuah filem akhirnya dihasilkan oleh Hollywood yang memaparkan peranan Malaysia dengan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada apa yang kita lakukan dalam linkungan limitasi dan situasi kompleks yang wujud ketika menangani tragedi MH370 ini.
Harapan kita agar tidak berlaku situasi seperti  dalam filem Black Hawk Dawn yang dihasilkan beberapa tahun lalu. Dari segi dasar luar, banyak lagi perlu dilakukan  semua pihak terbabit bagi menambahbaik apa juga keretakan yang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan China berikutan episod MH370 itu. Sementara kita memahami keresahan emosi saudara-mara penumpang dari China berikutan kehilangan orang yang disayangi, sikap mereka secara keseluruhannya tidak mempamerkan sejarah ketamadunan mereka. Dengan menuduh Malaysia sebagai negara yang ketinggalan dan pembunuh yang cuba menyembunyikan maklumat sudah tentunya bukan perkara paling bijak yang seharusnya dilakukan terhadap sebuah negara yang mempunyai hubungan persahabatan. Sudah sewajarnya juga kerajaan China memainkan peranan positif dengan menggunakan kebijaksanaannya bagi memastikan isu berkenaan tidak berada di luar kawalan mereka sehingga boleh mengakibatkan kerosakan struktur secara kekal dalam hubungan kedua-dua negara.

Saya percaya beberapa pengajaran pelbagai dimensi dapat diperoleh daripada peristiwa MH370 itu. Ini termasuk perkara berkaitan dasar rangka kerja; pengoperasian, keselamatan dan prosedur berkaitan protokol; inovasi teknologi; pertanggungjawaban perundangan antarabangsa; kerjasama serantau dan infrastruktur fizikal yang perlu dikaji semula. Semua ini amat diperlukan dalam permulaan era baru penerbangan yang akan memastikan wujud langkah keselamatan untuk sesiapa sahaja yang menaiki pesawat. Untuk itu, kita terhutang budi kepada mangsa pesawat berkenaan yang masih hilang bagi mengelakkan insiden berkenaan daripada berlaku pada masa hadapan.  
S: Apa peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2015 dan jika dipilih, sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Januari, 2015?

 J: Menjadi Pengerusi ASEAN adalah satu penghormatan bagi mana-mana negara anggota. Tetapi ia seharusnya diiringi dengan komitmen mendalam dan tanggungjawab bagi meneruskan visi ASEAN, prinsip dan objektifnya. Ini bukan kali pertama kita memegang jawatan Pengerusi dan sudah tentunya kali ini kita diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan lebih baik agar ia diingati sebagai legasi kita. Dalam mengenal pasti peranan itu, adalah wajar kita melihat Piagam ASEAN sebagai dokumen asas bagi membolehkan kita melakar inisiatif sesuai yang akan disokong dan mendapat kerjasama negara anggota. Saya percaya adalah sukar bagi kita untuk melakukan kesilapan sekiranya kita mengambil pendekatan ini, iaitu dengan melihat semula pada ketiga-tiga tonggak pertubuhan negara serantau itu, dari segi politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya bagi mempercepatkan proses penubuhan sebuah komuniti ASEAN sebagaimana dihasratkan  semua negara anggota. Pendekatan ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada apa yang boleh dibuat dan praktikal bagi dilaksanakan dalam tempoh Malaysia menjadi Pengerusinya bagi tujuan pelaksanaan jangka pendek dan jangka panjang. Saya gembira peluang untuk membincang peranan berkenaan dengan secara khusus disediakan pada Kolokium Kebangsaan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Wisma Putra minggu ini (8-10 April). Kolokium itu amat berguna bagi kita mengkaji Resolusi dan Deklarasi ASEAN relevan yang diterima dan dipersetujui, tetapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Bagi tujuan kesinambungan, apa yang sedang dilaksanakan  Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini boleh dilihat andainya inisiatif mereka dapat diterima atau diteruskan ketika Malaysia menjadi Pengerusi.    
S: Lapan tahun sudah berlalu sejak penubuhan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) dan  kini menjadi platform yang diiktiraf  Muslim di seluruh dunia. Boleh Tan Sri mengulas lanjut mengenai peranan organisasi ini?
 J: Sejak ditubuhkan pada 2005, WIEF mampu menjelma sebagai forum yang diiktiraf pada  peringkat global yang secara tidak langsung membantu meningkatkan imej Malaysia kerana mengambil inisiatif untuk ‘membina jambatan menerusi perniagaan’ antara dunia Islam dan bukan Islam.  Sokongan berterusan yang diperoleh daripada kerajaan Malaysia dan kerajaan relevan, badan perniagaan dan organisasi antarabangsa ketika Forum ini dianjurkan di Kuala Lumpur, Islamabad, Kuwait, Jakarta, London dan Dubai pada Oktober akan datang adalah bukti bahawa ia tetap relevan dan kepentingan Forum berkenaan sebagai platform kredibel bagi menggalakkan kerjasama ekonomi dan perniagaan. Kejayaan Forum berkenaan kemudian menjurus kepada pembentukan  Yayasan WIEF bagi mewujudkan wahana tambahan bagi manfaat peserta. Di samping Forum tahunan, terdapat beberapa aktiviti dan program dianjurkan meliputi Rangkaian Perniagaan bagi Wanita WIEF (WBN), Rangkaian Pemimpin Muda WIEF (WYN), Amanah Pendidikan WIEF (WET) dan Rundingan Meja Bulat WIEF di Malaysia dan negara lain yang mendapat sambutan daripada negara peserta. Usaha sedang dilakukan bagi menganjurkan Rundingan Meja Bulat di negara bukan Islam berikutan minat yang ditunjukkan dalam isu Kewangan Islam dan Industri Halal oleh negara seperti China, Jepun, Republik Korea dan India. 
 
S:  Apa pencapaian WIEF setakat ini?
J:  Walaupun sukar dikira, banyak pencapaian berjaya dihasilkan  Malaysia menerusi inisiatifnya menubuhkan WIEF. Malah Perdana Menteri sendiri pernah mengakui bahawa setiap sen yang dibelanjakan telah memperoleh manfaatnya! Tempoh 10 tahun bukannya lama sangat bagi mana-mana Forum dan adalah sesuatu yang dikesalkan jika kita menyisihkannya ketika ia sedang mendapat perhatian serta sokongan daripada kerajaan dan komuniti perniagaan global di seluruh dunia.   

S: Apakah kesan daripada dasar pintu terbuka dunia ke atas dasar luar Malaysia dalam masa terdekat ini?
J: Menerima dasar pintu terbuka tidak dapat dielakkan dalam era globalisasi ini. Risiko dan cabaran yang datang bersamanya sudah tentunya akan memberi kesan kepada Malaysia, seperti juga ke atas negara lain. Tetapi kita seharusnya melihat kepada manfaat yang terbit daripada dasar berkenaan. Sebagai anggota masyarakat antarabangsa, Malaysia perlu menyesuaikan dirinya dengan perkembangan itu dan memperoleh yang terbaik daripadanya dengan merangka dan melaksanakan strategi awam-swasta yang mampu dilaksanakan dengan sokongan rakyat. Penggubalan dasar luar kita mesti mengambil kira perkembangan ini menerusi kerjasama dan koordinasi antara agensi bagi melihat cara terbaik  meraih kebaikan daripadanya tanpa menjejaskan kepentingan asas kita.  - Berita Harian, 10 April 2014