Dalam kalangan rakan guaman di negara ini, pemergian Karpal adalah satu
kehilangan besar yang mana ketokohan, kelantangannya bersuara dan kecekapannya
mengendalikan kes di mahkamah amat sukar ditandingi.
Ketegasannya mempertahankan pendapatnya di makhamah mahupun Parlimen
menyebabkan beliau diberikan gelaran ‘The Tiger of Jelutong’. Beliau pernah diganung daripada Parlimen beberapa kali, didakwa di bawah Akta Hasutan dan ditahan di bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Prof Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Shad
Saleem Faruqi menyifatkan Karpal sebagai antara peguam terbaik di negara ini
bahkan di peringkat antarabangsa.
“Kematiannya adalah satu
kehilangan besar. Beliau menegakkan apa juga yang difikirkan sebagai betul. Beliau
juga bijak berhujah di mahkamah dengan interpretasi inovatif yang membuatkan
orang ramai memahami undang-undang dengan mudah. Sebagai peguam, standard
beliau adalah standard antarabangsa, bukan setakat dalam negara,” kata Dr
Faruqi.
Pada 2000 beliau bertindak membela bekasTimbalan Presiden
Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar dalam kes penghinaan terhadap
mahkamah ketika kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya masih ingat selepas menang kes itu, beliau tidak mahu
terima bayaran walau satu sen pun” kata Dr Chandra.
Namun sejak itu keluar daripada parti politik, mereka sudah
lama tidak berkomunikasi. Lagipun tambah Dr Chandra, pendirian politik beliau
dengan Karpal adalah berbeza. Apapun, Dr Chandra berkata, dalam bidang guaman,
Karpal memang seorang peguam yang terkenal dan lantang mempertahankan anak
guamnya.
Karpal, 73, maut dalam kejadian kemalangan di lebuh raya
berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi awal semalam
dalam perjalanannya untuk perbicaraan mahkamah di Pulau Pinang.Pada 2005, Karpal juga pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga menyebabkan beliau mengalami masalah neuromotor dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Namun, beliau masih menggagahkan dirinya dalam karier perundangan dan politik.
Karpal dilahirkan di Pulau Pinang dan memperoleh kelulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Singapura. Selepas keluar dari universiti, beliau diterima sebagai ahli perundangan di Pulau Pinang pada 1969 dan menyertai sebuah syarikat di Alor Star.
Sepanjang hayatnya, Karpal bertindak selaku peguam bela
dalam beberapa kes berprofil tinggi. Dan dua kali mewakili Anwar dalam sodomi
pada 1999 dan 2008.
Selain kes Anwar, beliau turut bertindak selaku peguam bela
bagi beberapa kes pengedaran dadah membabitkan rakyat Australia dan New Zealand
yang mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa pada 1980-an.
Dalam politik, Karpal adalah Ahli Parlimen bagi kawasan
Bukit Gelugor sejak 2004 dan pada masa sama memegang jawatan Pengerusi
Kebangsaan DAP.
Karier politiknya bermula apabila beliau bertanding buat
pertama kali di kerusi dewan undangan negeri Alor Setar Bandar, Kedah pada
1974. Pada 1978, beliau bertanding dan menang di kawasan Parlimen Jelutong dan
kawasan dewan undangan negeri Bukit Gelugor.
Pada PRU 2008 dan 2013, Karpal mempertahankan kerusi
Parlimen Bukit Gelugor sehinggalah ke saat terakhir beliau terbabit dalam
kemalangan jalan raya awal pagi semalam.
Pada Mac 2009, Karpal dituduh di bawah Akta Hasutan kerana
menyatakan penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri
besar Perak oleh Sultan Perak, boleh dipertikaikan di mahkamah undang-undang.
Baru-baru ini beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi
DAP sementara menunggu rayuannya didengar atas tuduhan di bawah Akta Hasutan
itu.
Karpal meninggalkan seorang isteri, Gurmit Kaur yang
dikahwininya pada 1970. Anak sulungnya, Jagdeep adalah ahli dewan undangan
negeri Datuk Keramat, Pulau Pinang dan anak kedua, Gobind, ahli Parlimen
Puchong. Seorang lagi anak lelakinya, Ramkarpal dan anak perempuan, Sangeet
Kaur bekerja di firma guamannya sementara anak bongsunya, Mankarpal belajar
dalam bidang sains akturial.