Tuesday, 22 April 2014

Krisis dunia akibat agenda Barat


Krisis meletus di Ukraine kerana usaha menjatuhkan kerajaan yang didukung oleh kuasa Barat. Keadaan sama turut berlaku di Venezuela dan Thailand, selain kejatuhan beberapa pemimpin dunia yang dipilih secara demokratik.


 Presiden Mesir, Mohamed Morsi disingkir pada Julai 2013,  Presiden Chile, Salvador Allende pula dibunuh dalam rampasan kuasa pada tahun 1973 manakala pemimpin Iran, Mohammed Mosaddegh bukan sahaja hilang kuasa, bahkan dipenjara  pada 1953.

 Semua kejadian itu berlaku berikutan adanya perancangan daripada kuasa Barat, kata Presiden Pergerakan Keadilan Antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar. Apa yang berlaku di Ukraine dan Crimea ini juga adalah sebahagian politik dominasi dan agenda Barat.

Chandra menegaskan, Presiden Viktor Yanukovich dari Ukraine yang dipilih menerusi pilihan raya bebas dan adil pada 2010 sepatutnya diturunkan melalui peti undi dan bukan cara paksaan.  

 Dalam kebanyakan kejadian, penyingkiran pemimpin yang dipilih secara demokratik itu dilakukan sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh pihak yang kononnya mendabik dada sebagai pejuang demokrasi.

 “Ia menunjukkan betapa hipokritnya mereka. Apa yang penting kepada golongan elit di Barat ini adalah bukan demokrasi tetapi perluasan kuasa mereka,” katanya.

  Chandra bercakap pada forum bertajuk ‘Krisis di Ukraine: Apa Pengertiannya kepada Dunia’ di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau menegaskan, pihak berkenaan bukan saja menentang prinsip demokratik, bahkan menidakkan ‘Perjanjian Damai’ yang dimeterai secara bersama dengan Yanukovich pada 21 Februari lalu.

 Di bawah perjanjian itu, antara lainnya Yanukovich bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dalam tempoh 10 hari yang turut diwakili pembangkang dan mengadakan pilihan raya umum dan presiden menjelang bulan Disember depan. Bagaimanapun, pihak yang memeterai perjanjian berkenaan tidak menghormati persetujuan itu.

 Russia menuduh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai pihak di belakang krisis di Ukraine dan menganggap penyingkiran Yanukovich sebagai tidak sah.

 Pada 16 Mac lalu, Parlimen Crimea mengisytihar wilayah berkenaan bebas daripada Ukraine berikutan  pungutan suara menunjukkan 96.77 peratus pengundi Crimea bersetuju bagi wilayah berkenaan menyertai Russia. Kiev bagaimanapun menolak pungutan suara itu dan integrasi Crimea sebagai sebahagian daripada Russia, atas alasan ia tidak sah dari segi perlembagaan.

 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula meluluskan resolusi bagi mengisytiharkan pungutan suara di Crimea itu dan kemasukannya ke Russia sebagai tidak sah.

 Berikutan rentetan peristiwa di Ukraine itu, Dr Chandra mencadangkan supaya dunia melancarkan kempen bagi mendesak pembubaran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi membendungnya daripada meneruskan agenda Amerika memperluas kekuasaannya.

 NATO pernah masuk campur dalam kemelut politik di Afghanistan dan Libya hingga dua negara berkenaan kini kucar-kacir.

 “NATO cuba menunjukkan bahawa ia adalah kuasa tentera melampaui kawasan Atlantik Utara, dan dengan cara demikian, ia sebenarnya menentang keamanan dan keadilan,” tegas Chandra.

 Katanya, ketika runtuhnya Soviet Union pada tahun 1991, Presiden Mikhail Gorbachev dan Presiden George HW Bush bersetuju untuk menamatkan perang dingin di antara dua benua itu.

 Russia bersetuju untuk memansuhkan Perjanjian Warsaw manakala Amerika berjanji tidak membenarkan NATO mengambil tindakan berhampiran Russia.

 Namun, keadaan sekarang berbeza dan Barat nampaknya begitu cenderung dengan tindakan memperluas pengaruh, kata Chandra. Beliau juga mahu masyarakat dunia menentang laporan berat sebelah media Barat meliputi akhbar, televisyen dan media alternatifnya.

 “Kita boleh beri pandangan menerusi blog kita sendiri seperti yang dilakukan oleh JUST,” katanya sambil menambah   kekacauan di Ukraine adalah kerana rejim Kiev dan penyokong mereka yang disokong oleh kuasa Barat, melanggar prinsip asas urus tadbir demokratik.

 “Mereka menyingkir presiden yang dipilih secara demokratik menerusi cara tidak sah. Sepatutnya Presiden Yanukovich yang diberi kuasa menerusi pilihan raya adil dan bebas pada tahun 2010 disingkir menerusi peti undi,” tegasnya.


 Chandra menegaskan, krisis di Ukraine seharusnya dilihat dalam konteks politik global dan tentangan terhadap dunia unipolar di mana kuasa ekonomi, tentera dan budaya dikuasai Amerika. - Berita Harian, 22 April 2014