Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke negara
ini mulai hari ini akan memberi kesempatan kepada beliau untuk melihat sendiri
bagaimana umat Islam di negara ini mengamalkan konsep Islam sederhana.
Rata-rata diplomat
dan pemerhati melihat lawatan pemimpin dunia ini sebagai peluang di mana
Malaysia dapat mengenengahkan dan menjelaskan konsep kesederhanaan itu di
pentas antarabangsa supaya ia lebih difahami.
Lawatan Obama dengan
sendirinya menandakan satu penghormatan kepada Malaysia dan pengiktirafan
kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Wakil
Tetap Malaysia di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
Tan Sri Hasmy Agam, (gambar) dalam satu pertemuan, petang semalam. Beliau turut berpendapat bahawa lawatan Obama ini mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ia boleh membuka mata masyarakat antarabangsa mengenai amalan kesederhanaan yang dianjurkan oleh agama Islam seperti diamalkan di negara ini.
“Di Malaysia, kita tidak mengamalkan fahaman agama yang ekstrem dan ia adalah sesuatu yang boleh dilihat oleh pemimpin dunia.
“Namun, kita masih boleh menjadi contoh negara Islam yang baik dengan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan bagi tujuan beribadah - dari segi surau dan masjidnya serta keperluan berwuduk dan sebagainya, yang kadangkala mungkin tidak ada di tempat lain,” kata beliau yang kini Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Apapun, Hasmy yang pernah berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Washington, berpendapat bagi mengatasi salah faham mengenai Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam, semua pihak perlu mengadakan lebih banyak pertemuan dan dialog.
“Ketika saya temui duta dari Washington, kami bincang mengenai ketakutan akibat peristiwa 11 September itu (9/11) dan beliau ternyata memahami situasi bahawa bukan semua orang Islam bersikap ekstrem sehingga sanggup melakukan perbuatan berkenaan,” kata beliau.
Tambahnya, beliau menjelaskan kepada duta berkenaan bahawa tidak ada sesiapa atau mana-mana negara sekalipun harus membenarkan tanggapan salah ini sehingga berlaku ketakutan terhadap Islam atau Islamophobia, terutama selepas tragedi 9/11.
Justeru, katanya, lebih banyak usaha patut dilakukan bagi meningkatkan pemahaman mengenai Islam.
“Saya teringat ketika berada di PBB, Presiden George Bush menjemput duta dari negara Islam dan bukan Islam ke Rumah Putih untuk berbuka puasa dan beliau berinteraksi dan berbincang dengan mereka.
“Apabila semua pihak sudah memahami, maka tidak akan timbul lagilah anggapan kononnya Islam anti ini dan anti itu,” tegasnya.
Hasmy berkata, hakikatnya majoriti umat Islam berada di tengah-tengah tetapi kesederhanaan mereka ‘dirampas’ oleh golongan ekstremis, yang juga wujud dalam kelompok agama lain.
“Perdana Menteri sudah membawa konsep kesederhanaan ini ke tengah ketika berucap di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ramai kalangan pemimpin Barat ini memahami bahawa Islam tidak harus dikaitkan dengan keganasan,” katanya.
Mengenai hubungan Malaysia dan Amerika, Hasmy berkata, lawatan Obama itu sudah tentu membuka lembaran baru kerana sikap keterbukaan dalam dasar luar Malaysia di bawah pentadbiran Najib.
“Keadaan sekarang berbeza. Dulu hubungan kita dengan Amerika agak sukar kerana pemimpin pada masa lalu tidak suka sikap double standard negara berkenaan,” tambahnya.
Katanya, Najib menyasarkan supaya Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi yang dinamik dan berfungsi sepenuhnya menerusi sikap keterbukaannya.
Hasmy percaya, Malaysia boleh memainkan peranan penting ini menerusi Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan menjadi contoh baik kepada negara lain.
“Oleh itu, apabila Obama berkunjung ke sini, beliau berpeluang untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam moderate yang diterima oleh masyarakat antarabangsa.
“Kita boleh menjadi model negara pelbagai kaum dan agama yang mampu hidup aman damai tanpa bermasalah dan ini adalah simbol penting dalam Islam,” katanya. - Berita Harian, 26 April 2014