Di negara kita, angka yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) menunjukkan pada tahun 2012, penduduk bandar mengeluarkan sejumlah 3.5 juta tan bahan buangan sehari dan jumlah itu dijangka akan meningkat sebanyak 70 peratus ke enam juta tan sehari pada tahun 2025!
Dengan jumlah yang sebesar itu, mungkin masih ramai yang berpendapat bahawa cara paling mudah untuk mengatasi bebanan itu ialah dengan melupuskannya di pusat pelupusan sampah. Cara itu walaupun tidak memerlukan perbelanjaan banyak, tetapi akan membawa bersamanya beberapa ancaman kepada alam sekitar dan air di permukaan bumi dan bawah tanah, sekali gus membahayakan kehidupan manusia dan ekosistem.
Dalam keadaan itu, sudah tentunya sisa buangan ini boleh menjejaskan usaha manusia untuk membina kualiti kehidupan lebih baik.
Menyedari akibatnya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang mengusahakan satu model bagi menghasilkan teknologi sisa sifar. Projek perintis itu mengkaji bagaimana cara paling berkesan dan selamat bagi melupuskan sisa buangan loji kelapa sawit. Projek berkenaan dibiayai oleh Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Amanah Pendidikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WET).
Pengerusi WET, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, berkata beberapa tahun lalu WIEF mempelawa pusat pengajian tinggi tempatan melakukan kajian bagaimana untuk mewujudkan teknologi sifar sisa ini.
Daripada beberapa model yang diketengahkan, pihaknya mendapati model yang dikemukakan UKM adalah yang paling meyakinkan. Pada 2010, Kursi UKM-Yayasan Sime Darby (YSD) ditubuhkan di Fakulti Kejuruteraan UKM bagi menjalankan kajian berkenaan dengan bantuan sebanyak RM15 juta daripada YSD.
Wan Zahid berkata, WIEF kemudian berusaha untuk mendapatkan pembabitan pusat pengajian tinggi di Belanda dan membentangkan kertas kerja kepada beberapa universiti.
“Seorang profesor di Belanda, Dr Ir Pieternel Claassen dari Universiti Penyelidikan Wageningen, berminat dengan apa yang kita lakukan kerana beliau juga sedang membuat kajian hampir sama, iaitu proses untuk mengubah biojisim kepada produk berguna,” katanya.
Atas kerjasama dan sokongannya, Dr Claassen kemudian dilantik sebagai pemegang pertama Kursi UKM-YSD ketika ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2011. Misi Kursi berkenaan adalah untuk mewujudkan satu sistem pelupusan agar efluen daripada pemerosesan di loji minyak sawit tidak lagi menjejaskan alam sekitar menerusi kaedah rawatan dan pemuliharaan yang dirangka.
Gas hidrogen yang keluar disimpan bagi kegunaan loji berkenaan sendiri, manakala karbon dioksida tidak lagi dilepaskan di udara, sebaliknya diserap oleh alga. Pembiakan alga itu kini dilakukan di peringkat makmal di bawah penyeliaan beberapa pakar di pusat teknologi sisa sifar berkenaan.
Ketua Pusat Penyelidikan bagi Teknologi Proses Kelestarian, Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Proses UKM, Prof Datuk Dr Ir Abdul Wahab Mohammad, berkata teknologi sisa sifar itu diuji di makmal bagi melihat keberkesanannya mencapai matlamat yang dihasratkan.
Katanya, apabila buah sawit dihantar ke loji, selepas minyak isirong sawit dikeluarkan, biomass atau biojisim disalurkan ke peringkat berikutnya bagi menjalani proses biologikal.
Di sini bahan yang terbuang seperti sisa sawit diproses untuk menjadi baja organik, makanan haiwan dan bahan kimia lain, manakala gas hidrogen pula dikumpul di sebuah loji tenaga. Gas hidrogen ini boleh dikitar semula untuk digunakan sebagai kuasa elektrik dan wap kuasa elektrik.
“Dengan cara itu tiada sisa yang mencemari air, tanah dan udara,” kata Dr Abdul Wahab. Ujian makmal itu dijangka diperluaskan dalam skala lebih besar di loji minyak sawit Sime Darby di Pulau Indah, Klang selepas ini.
Sistem baru ini penting bagi mematahkan beberapa kritikan terhadap industri minyak sawit negara oleh akhbar di Barat termasuk dakwaan bahawa industri berkenaan mengakibatkan pemanasan global dan menyebabkan pelepasan metana yang mencemarkan alam sekitar.
Laporan akhbar di United Kingdom itu juga mengecam industri sawit dengan mendakwa kononnya ia memusnahkan planet ini dan menjejaskan ekosistem.
Wan Zahid pula berpendapat usaha untuk memperoleh sisa sifar ini amat berguna terutama dengan adanya pertarungan antara soya dan sawit.
Sempena Hari Bumi pada 22 April lalu, Amanah Pendidikan WIEF dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan Wacana Global WIEF-UiTM Kelima mengenai Sisa Sifar pada Rabu ini.
Beberapa pakar mengenai sisa buangan dari luar negara dijemput dalam perbincangan dan pembentangan kertas kerja termasuk Dr Claassen, manakala Ketua Pengarah Institut Pemahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan akan menyentuh mengenai Perspektif Islam berhubung Sisa Sifar.
Wan Zahid menambah, sekiranya kajian UKM-YSD itu berjaya, ia boleh menjadi contoh kepada banyak industri lain bagi menjamin proses pengeluaran mereka bebas daripada mencemari alam sekitar kita di udara, bumi dan air. - Berita Harian, 28 April 2014