Wednesday, 14 May 2014

Cabaran hebat memberi pemahaman mengenai hak asasi manusia



Temuramah dengan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Tan Sri Hasmy Agam:
Wartawan:  Baru-baru ini Tan Sri mengumumkan laporan tahunan SUHAKAM tahun 2013. Boleh Tan Sri menggariskan inti pati penting dalam laporan berkenaan?

Hasmy Agam:  Terdapat 13 isu utama membabitkan pembaharuan dan pelaksanaan undang-undang, pindaan terhadap Akta SUHAKAM, penyertaan Malaysia dalam triti teras hak asasi manusia antarabangsa, hak kepada pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan hak warga emas. Antara yang lain termasuk kebebasan berhimpun, pembela hak asasi manusia, Pilihan Raya Umum Ke-13, tempat tahanan, laporan inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asli. Selain itu, laporan ini juga menyentuh pemerhatian dan syor berhubung  hak asasi manusia lain yang ditandatangani  suruhanjaya sepanjang tahun  2013, yang kebanyakannya membabitkan bidang kuasa dan tindakan susulan pelbagai agensi kerajaan. Justeru, peranan kerajaan dalam menterjemahkan hak asasi manusia ini menerusi penggubalan undang-undang adalah amat penting.

 S: Ketika mengumumkan laporan tahunan itu, Tan Sri juga melahirkan harapan agar laporan berkenaan dibahas di Parlimen. Boleh Tan Sri huraikannya lebih lanjut?

J:  Ini  kali keempat kami mengeluarkan laporan tahunan dan secara idealnya memang elok laporan itu dibawa untuk perbahasan di Parlimen seperti yang dilakukan di negara lain. Apabila ada usul atau cadangan  dipersetujui  semua parti, bolehlah ia dibuat undang-undang. Saya berharap  satu hari nanti Dewan Rakyat akan membahaskan isu hak asasi manusia. Saya sudah mengemukakan syor ini kepada tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ada kaitan dengan undang-undang dan Parlimen iaitu Datuk Paul Low yang bersetuju, Nancy Shukri menyokong pada prinsipnya dan Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan bincang dan membawa usul berkenaan kepada Kabinet. Sejak penubuhannya pada tahun 1999 sehingga kini, suruhanjaya sudah mengemukakan 13 laporan ke Parlimen dan berulang kali menyeru kerajaan untuk memastikan laporannya dibahaskan oleh anggota dewan. Namun, hasrat ini  belum dicapai. Bagaimanapun, pihak suruhanjaya mengalu-alukan cadangan kerajaan pada tahun  2012 untuk menubuhkan Jawatankuasa Tetap Pemilih Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia (PSC) yang membolehkan ahli Parlimen yang menganggotainya membincangkan isu hak asasi manusia dan perkara yang dibangkitkan dalam laporan tahunan suruhanjaya serta laporan khas.

S: Boleh Tan Sri jelaskan peranan SUHAKAM sejak ditubuhkan?

J: Suruhanjaya ini ditubuhkan pada tahun  1999 di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. Seksyen 21 Akta 597 itu mengkehendaki suruhanjaya ini mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai segala aktiviti dan tindakan  dalam melaksanakan fungsi dan mandatnya sebagai institusi hak asasi nasional. SUHAKAM adalah badan penasihat dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Antara usaha  meliputi penyelidikan, pertemuan dengan masyarakat dan mengadakan bengkel dan latihan di semua peringkat termasuk di sekolah menengah. Saya ingin mencadangkan agar pemahaman mengenai hak asasi manusia ini dimulakan kepada murid di sekolah rendah lagi. Pada asasnya kita mahukan  masyarakat berbilang kaum yang berlainan budaya dan agama menghormati antara satu sama lain dan ini mesti diterapkan dari bangku sekolah lagi. Dalam memperjuangkan hak asasi Orang Asli, SUHAKAM turut mengunjungi kawasan berkenaan di Selangor, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak untuk melihat kehidupan mereka. Saya juga ‘turun padang’ dan tidak nampak banyak perubahan di kawasan berkenaan.  Jawatankuasa Petugas untuk mengkaji laporan SUHAKAM mengenai hak tanah Orang Asli diketuai Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Seri Mohd Tap Salleh. Sudah enam bulan kajian dilakukan dan 12 cadangan dikemukakan, antaranya supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk Orang Asli. Kami juga mengalu-alukan maklum balas positif daripada Kementerian Pendidikan mengenai kadar keciciran murid Orang Asli di beberapa penempatan di Kelantan dan niat kementerian untuk melaksanakan pemantauan lebih kerap di sekolah Orang Asli serta sekolah kebangsaan yang mempunyai murid Orang Asli. Tujuannya adalah bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar di samping memberi perhatian sewajarnya ke atas aspek kebajikan masyarakat berkenaan. Bagi saya pendidikan adalah kunci utama  membangunkan masyarakat Orang Asli. 

S: Apakah SUHAKAM juga mengadakan pertemuan dengan kerajaan untuk mendapatkan maklum balas serta memberi penjelasan mengenai peranan suruhanjaya ini?

J: Ada rundingan meja bulat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Khalid Abdullah. Mereka amat terbuka dengan pendirian mereka dan memahami peranan amat mencabar suruhanjaya ini. KPN berkata pihak polis hanya melaksanakan penguat kuasaan undang-undang. Saya minta kepada polis, sekiranya ada undang-undang baru, mereka hendaklah memberi pandangan terbuka dan jangan menolak aspek hak asasi manusia demi menjadikan negara ini maju, objektif dan dinamik. Ketika ini undang-undang kita adalah komited pada keselamatan, bukan hak asasi. Walaupun diakui bahawa undang-undang adalah penting, ia hendaklah disesuaikan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Manusia (UDHR). Apabila kita menjadi anggota UDHR, kita cuba pertahankan prinsipnya. Walaupun kita tidak terikat dari segi undang-undang, setiap anggota PBB setakat yang boleh dikehendaki melaksanakannya. Kita berasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Setiap anggota juga dipantau dan pada setiap empat tahun dilakukan kajian bertempoh universal (UPR) di Geneva. Yang terakhir ialah pada Oktober lalu yang  mana 232 perakuan dibuat dan kerajaan akan mengkajinya. Dalam melaksanakan tugasnya, SUHAKAM mengkaji sedalam-dalamnya mengenai masalah. SUHAKAM juga sedang membuat kajian mengenai keselamatan banduan dalam tahanan. Pada mata kasar macam polis sahaja yang salah. Tetapi, selepas dikaji didapati cuma dua kes saja yang membabitkan kekerasan polis. Yang lain apa yang berlaku ke atas tahanan adalah akibat keadaan kesihatan mereka dan penyakit  dihidapi.   

S: Apa cabaran  dihadapi SUHAKAM sekarang?

J: Cabaran utama adalah untuk memperluaskan pemahaman mengenai hak asasi manusia. Penduduk bandar nampaknya lebih memahami hak asasi manusia berbanding penduduk di luar bandar. Antara kaum pula, orang Melayu didapati kurang faham mengenai hak asasi manusia, manakala bukan Melayu lebih memahaminya. Tidak ada apa yang harus dimalukan kalau kita mengambil pendirian tegas dan konsisten. Setakat ini penerimaan kita terhadap Konvensyen Hak Asasi Manusia adalah antara yang terendah. Pada tahun 2020 kita akan menjadi negara maju dan sudah tentunya ketika itu kita akan dinilai pada tahap tinggi. Keseluruhannya terdapat sembilan teras konvensyen hak asasi manusia dan Malaysia hanya menerima tiga iaitu Hak Asasi Wanita (CEDAW), Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Hak Asasi bagi Perlindungan Orang Kurang Upaya (CPRD). Sebagai anggota PBB, Malaysia sememangnya dihormati oleh jawatankuasa. Kita pernah tiga kali menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB, malah saya sendiri pernah mewakli negara dua kali dalam majlis berkenaan. Tahun depan, insya-Allah kita akan menjadi ahli majlis keselamatan buat kali keempat. Suara kita didengar dan sentiasa konsisten dan tegas. Tan Sri Razali Ismail pula pernah menjadi Presiden pertama Perhimpunan Agung pada tahun 1996-1997. Selain itu,  Malaysia turut menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi. Selaku bekas duta, saya ingin melihat Malaysia mengetuai perjuangan mengenai hak asasi manusia bersama anggota lain. Dalam hak asasi manusia ini, saya syorkan kita belajar daripada negara Arab.

S: Bagaimana Tan Sri melihat isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)? Apakah ia juga hak asasi manusia?

J: LGBT diperjuangkan oleh negara Barat. Ia adalah fenomena biasa dan bukan salah satu daripada 30 prinsip dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia. Ia termasuk dalam kebebasan dalam gaya kehidupan individu,  tetapi diperjuangkan oleh golongan tertentu dengan memberi gambaran seolah-olah UDHR adalah sinonim dengan LGBT. Ia memberi gambaran seolah-olah apa yang kita perjuangkan adalah hak LGBT itu. Namun, apabila mereka yang terbabit dengan gaya hidup berkenaan mengadu kepada kita yang mereka dikeji, dimaki hamun, diejek dan dicaci oleh agensi penguat kuasa, kita perlu menjalankan siasatan. Mereka adalah manusia biasa dan tidak sepatutnya dibuat begitu. Mereka juga ada hak untuk tidak dianiayai.

S: Dalam menjalankan tugas selaku Pengerusi SUHAKAM, kadangkala Tan Sri dilihat sebagai anti-kerajaan kerana pihak media tertentu lebih suka menaikkan aspek negatif daripada kenyataan Tan Sri walaupun ada aspek positifnya?

J: Sebagai bekas pegawai kerajaan dan diplomat, saya kini berada dalam jawatan kontroversi. Saya bukan anggota kerajaan dan mengetuai badan bebas. Saya tidak lagi pegawai eksekutif kerajaan. Oleh kerana saya mengambil pendirian mempertahankan hak asasi manusia, orang kata saya antikerajaan dan propembangkang. Ada yang cakap saya anti-Melayu pada hal saya pun Melayu dan sekarang pula ada yang kata saya anti-Islam.  Saya anak pak imam. Saya tahu apa yang saya buat. Ia  satu tugas yang sukar dilakukan. Saya berada di sini  atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk tempoh tiga tahun dan pada April lalu pelantikan saya diperbaharui bagi penggal kedua sehingga April 2016. Saya tidak pernah bersara. Sebagai Pengerusi badan ini saya terpaksa menyuarakan mengenai hak asasi manusia, tapi saya  tidak memihak mana-mana. Kalau pro pun pro hak asasi. Kadang-kadang kenyataan saya kritikal tapi membina. - Berita Harian, 14 Mei 2014