Thursday, 16 October 2014

Malaysia boleh main peranan penting dalam Majlis Keselamatan PBB

MALAYSIA boleh memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan isu antarabangsa sekiranya mendapat mandat menganggotai kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai wakil tidak tetap yang bakal ditentukan esok.

Keyakinan itu disuarakan oleh bekas Wakil Tetap Malaysia di PBB, Tan Sri Razali Ismail bahawa Malaysia mempunyai harapan cerah pada pengundian sulit yang akan diadakan badan dunia itu.
Katanya, sekiranya dipilih ia adalah kali keempat keanggotaan Malaysia dalam kesatuan gergasi dunia itu, sekali gus tanggungjawab dan harapan terhadap peranan Malaysia oleh masyarakat dunia turut menjadi lebih besar.

Malaysia pernah menganggotai Majlis Keselamatan pada 1965, 1989-1990 dan 1999-2000.
Dalam pemilihan UNSC itu, Malaysia adalah calon tunggal bagi mewakili rantau Asia-Pasifik yang akan menganggotai kerusi berkenaan bagi tempoh 2015-2016 sementara Fiji pula akan mewakili Asia-Pasifik dua tahun berikutnya.

  Selain Malaysia, Angola juga calon tunggal bagi mewakili Afrika.
Pengundian sulit itu akan diadakan di Ibu Pejabat PBB di New York ketika persidangan Perhimpunan Agung ke-69 ini.

  Berdasarkan peraturan penggiliran Majlis Keselamatan, 10 anggota tidak tetap bergilir antara blok negara serantau, yang dibahagikan seperti berikut: Satu untuk Afrika, satu untuk Asia-Pasifik, satu untuk Amerika Latin dan Caribbean dan dua untuk Eropah Barat dan lain-lain.

  "Sudah tentunya tanggungjawab kita lebih besar dalam melaksanakan tugas yang diharapkan. Isu lama seperti 'marginalisation', bencana alam sekitar dan perimbangan ekonomi akan terus diberikan perhatian," kata Razali kepada BH Online hari ini.

  Katanya, rekod Malaysia adalah jelas dalam banyak isu antarabangsa yang akan terus diberikan penekanan.

  "Oleh kerana kita menyokong kesederhanaan, apabila kita bercakap, mahu tidak mahu kita kena menyentuh faktor berkenaan dan bagaimana kita boleh menyelesaikan isu menerusi gagasan kesederhanaan.

  "Gagasan kesederhanaan kita disokong oleh negara ASEAN dan semakin mendapat sokongan negara Asia. Justeru, Malaysia harus mengenengahkan konsep itu di seluruh dunia agar orang lebih memahaminya," kata Razali yang juga Pengerusi Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

  Namun pada masa sama, katanya, Malaysia tidak hanya harus menjuarai kesederhanaan apabila berdepan dengan penindasan dan ketidakadilan seperti yang berlaku di Semenanjung Gaza.

  "Dalam memperjuangkan isu berkenaan, suara kita mesti terus kuat dan tegas seperti sebelum ini.
"Perjuangan gagasan kesederhanaan tidak bererti kita harus kurang bercakap atau menjadi tidak kuat. Apa yang salah tetap salah," tegasnya.

  Dalam pengundian esok, pencalonan Venezuela dikatakan tidak ditentang secara terbuka oleh Amerika Syarikat (AS) seperti yang pernah dilakukan pada 2007 ketika mendiang Presiden Hugo Chavez masih menjadi presiden negara berkenaan.

  Justeru, tumpuan pengundian pada tahun ini adalah terhadap New Zealand, Sepanyol dan Turki yang bersaing untuk dua kerusi yang mewakili negara Barat.

  Kerusi Majlis Keselamatan PBB itu dianpgap penting kerana ia memberikan negara anggotanya suara yang kuat dalam menangani isu berkait dengan keamanan dan keselamatan dunia - dari Syria ke Palestin, sekatan terhadap Iran dan Korea Utara, kegiatan keganasan meliputi militan Negara Islam (IS) dan operasi pasukan pengaman PBB.

  Majlis itu dianggotai 15 negara termasuk lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, Russia, China, Britain dan Perancis, manakala 10 lagi anggota tidak tetap yang dipilih untuk tempoh dua tahun.

  Bagi memperoleh kemenangan, setiap negara mesti mendapat sokongan dua-pertiga daripada ahli PBB yang hadir, atau minimum 129 undi daripada semua 193 negara yang terbabit.

  Sering kali juga terdapat 'persaingan panas' oleh negara yang bertanding. Sebagai contoh, pada 2007, undian antara Guatemala dan Venezuela dikira banyak kali tetapi tiada satu pun berjaya mendapat undian dua-pertiga.

  Akhirnya, negara Amerika Latin menawarkan kerusi itu kepada Panama dan ia menang dengan mudah.

  Memandangkan undian dijalankan secara sulit, terdapat usaha daripada negara yang bertanding bagi mendapatkan undi mencukupi, termasuk dalam pertandingan yang tidak dicabar bagi membolehkan ia mendapat jumlah undi minimum yang diperlukan untuk menang.


  Pemenang dalam pemilihan esok akan menyertai Majlis Keselamatan pada 1 Januari 2015 dan berkhidmat sehingga penghujung 2016. Negara yang bertanding itu akan menggantikan tempat Argentina, Australia, Luxembourg, Korea Selatan dan Rwanda. - BHOnline, 16 Oktober 2014