Wednesday, 14 May 2014

Tangani kemelut politik di Terengganu dengan sebaik mungkin


Bagai menarik rambut daripada tepung, begitulah penyelesaian yang harus dicari bagi kemelut politik di Terengganu berikutan tindakan Datuk Seri Ahmad Said, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan keluar daripada UMNO.
Keadaan bertambah meruncing apabila tindakan beliau itu diikuti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Berikutan itu, jumlah wakil Barisan Nasional (BN) di DUN Terengganu berkurangan kepada 14 (tidak termasuk Speaker), berbanding 15 yang mewakili PAS serta PKR dan tiga BEBAS.

Berikutan peletakan jawatan Ahmad, ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu, malam kelmarin.

Beliau dijangka menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini, bagi membincangkan perkembangan politik di negeri berkenaan.

Persoalan mengenai masa hadapan negeri berkenaan juga dijangka dirungkaikan selepas pertemuan di antara Menteri Besar baharu dengan Perdana Menteri.

Perletakan jawatan Ahmad sudah lama dijangka kerana ia terkandung dalam surat yang ditandatangani beliau, iaitu untuk berundur selepas setahun menjawat jawatan itu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sudah ada persefahaman di antara beliau dengan Najib yang juga Pengerusi BN.

Soal pelantikan Menteri Besar di negeri di bawah pentadbiran BN adalah prerogatif Perdana Menteri dan bukan perkara yang seharusnya menjadi pertikaian.

Prof Madya Dr Shamsuddin Abdul Rahman dari Jabatan Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpendapat sebagai orang parti, Ahmad sepatutnya setia kepada parti.

Jika benar beliau dikehendaki meletakkan jawatan selepas setahun, adalah wajar dari awal lagi menyatakan hasratnya berundur.

“Kepentingan parti harus mengatasi kepentingan diri. Ini tidak, mudah sangat hari ini orang parti, esok bukan orang parti. Ia menunjukkan bahawa apa yang beliau cakap kononnya untuk berjuang bagi kepentingan rakyat hanya cakap kosong semata-mata,” tegasnya.

Shamsuddin juga berpendapat majlis perkahwinan anak Ahmad tidak harus menjadi isu. Sama ada beliau Menteri Besar atau tidak, orang akan tetap datang.

Beliau menambah, ramai yang tidak menyangka Ahmad akan bertindak seperti yang dilakukannya. Tindakannya itu, tegas beliau, adalah satu ancaman terhadap parti dan tidak menunjukkan satu personaliti serta ketokohan bermaruah tinggi.

“Dengan mengancam parti, beliau menyusahkan rakyat dan sejarah tidak akan menilai beliau sebagai pemimpin yang baik. Sudah enam tahun beliau menjadi Menteri Besar dan malang sekali tindakannya itu tidak lebih daripada hanya mementingkan diri sendiri,” kata Shamsuddin.

Katanya, jika diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), perbelanjaan untuk mengadakan satu PRK pun agak tinggi, inikan pula untuk 32 kawasan DUN yang mungkin melampaui berpuluh juta, yang mana wang itu boleh digunakan bagi tujuan membina rumah kos rendah atau rumah di bawah skim PR1MA.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Adabi pula mahukan pucuk pimpinan parti mengambil langkah segera menyelesaikan kemelut politik itu agar ia tidak berpanjangan.

Katanya, jika dilengahkan ada kemungkinan pihak tertentu akan mula membuat pelbagai desakan untuk menjadi Menteri Besar, satu keadaan yang pernah disaksikan berlaku di Perak sebelum ini.

Shamsul berpendapat situasi yang dihadapi di Terengganu sekarang memerlukan penyelesaian segera kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Beliau bagaimanapun melihat situasi di Terengganu itu mempunyai perbezaan dengan apa yang berlaku di Perak selepas PRU-12 pada 2008 kerana di negeri berkenaan ahli dewan melompat tanpa berlaku peralihan kuasa terlebih dahulu.

“Di Terengganu sekarang ini, tindakan melompat hanya berlaku selepas peralihan kuasa, kemudian baharu tindakan keluar daripada parti, yang setakat ini mereka masih belum menyatakan sokongan kepada mana-mana parti lain,“ kata beliau.

Penganalisis politik itu berpendapat adalah wajar kedua-dua pihak UMNO dan PAS berbincang bagi mencapai persetujuan memohon perkenan Sultan Terengganu membubarkan dewan.

“Jika tidak perbincangan dalam persidangan dewan negeri akan menjadi huru-hara kerana perasaan tidak puas hati kedua-dua pihak. Keadaan seperti ini sekiranya dibiarkan tidak elok untuk rakyat dan negeri,” katanya. - Berita Harian, 14 Mei 2014