Friday, 9 December 2016

Waspada dengan tawaran pakej umrah murah

88Pada penghujung November
lalu sekali lagi timbul berita mengenai jemaah yang ingin mengerjakan ibadah umrah yang terkandas di lapangan terbang kerana dipercayai terpedaya dengan pakej murah ditawarkan sebuah agensi.

Laporan berita menyatakan kali ini kira-kira 300 bakal jemaah umrah menjadi mangsa kepada pakej umrah yang ditawarkan, menyebabkan mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Mereka yang terlibat adalah tiga kumpulan dari Johor dan Perak yang membayar harga pakej RM3,500 kepada sebuah agensi yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur.

Jemaah umrah tersebut sepatutnya berlepas pada 27 dan 28 November lalu. Laporan tersebut memetik seorang lelaki sebagai berkata beliau dan keluarganya dari Ipoh mendapat maklumat mengenai agensi terbabit daripada seorang rakan dan kemudiannya melakukan carian di Facebook.

Beliau, seperti juga jemaah lain, terpedaya dengan pakej yang ditawarkan setelah melihat gambar jemaah yang menyertai rombongan agensi terbabit ketika berada di Tanah Suci.

Permintaan tinggi terhadap pakej umrah ini berlaku kerana kesedaran yang semakin meningkat tentang agama Islam dalam kalangan umat di negara ini, justeru timbul keinginan untuk melakukan ibadah di Baitullah.

Mengikut rekod Lembaga Tabung Haji, terdapat lebih 70,000 orang kini dalam senarai menunggu untuk mengerjakan ibadah haji tetapi kuota yang dibenarkan kepada Jemaah Malaysia adalah hanya kira-kira 22,370 orang (jumlah Jemaah 2016).

Bahkan jika kita mendaftarkan anak pada hari ini, giliran untuk anak itu mengerjakan haji adalah pada tahun 2070-an!

Tempoh menunggu yang begitu lama itu menyebabkan ramai yang berpendapat untuk mengerjakan umrah terlebih dahulu sementara menunggu giliran haji yang tidak tahunya bila akan tiba.

Berbalik pada kesalahan berkaitan pakej umrah, laporan terbaru Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mencatatkan 57 kes membabitkan 12 syarikat yang direkodkan dari 2012 hingga April lalu.

Lesen pelancongan 11 syarikat dibatalkan dan lessen pelancongan luar negara atau ‘outbound’ sebah syarikat dtarik balik.

Selain itu sebanyak 3,400 kes berkaitan penipuan pakej umrah pula difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan nilai tuntutan kira-kira RM20.77 juta dalam tempoh sama.

Jumlah tersebut tidak termasuk 216 kes lagi kes penipuan pakej umrah atau haji dengan nilai kerugian kira-kira RM9.1 juta dalam tepoh masa sama yang dibuat aduan kepada polis

Semua kes ini melibatkan kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan atau penangguhan pakej umrah serta pelanggaran terma dan syarat pakej umrah.

Pakej umrah adalah antara yang paling popular selain pakej pelancongan Muslim di negara-negara tertentu seperti China, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Permintaan yang tinggi dalam kalangan umat Islam menyebabkan banyak syarikat pelancongan termasuk yang bukan dimiliki orang Islam lebih cenderung untuk memasarkan produk Muslim.

Produk pelancongan Muslim ini adalah juga antara yang paling popular pada pesta pelancongan seperti MATTA Fair yang diadakan dua kali setahun serta pameran dan pesta pelancongan Muslim yang diadakan di Shah Alam.

Pakej umrah tidak memerlukan strategi pemasaran yang menelan perbelanjaan tinggi. Andainya syarikat pelancongan itu dkenali ramai dan sememangnya terbukti dapat menawarkan pakej yang baik, jemaah yang mengikutinya sebelum ini akan memberi perakuan yang baik mengenai syarikat berkenaan kepada rakan dan saudara-mara mereka dan begitulah seterusnya.

Ada syarikat-syarikat kecil yang mengambil kesempatan daripada perkembangan semasa ini untuk mengaut keuntungan daripada pakej umrah walaupun syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan tidak berpengalaman.

Dalam keadaan di mana pakej umrah kini sudah mencecah hampir RM7,000 bagi penginapan yang dekat dengan Masjidil Haram di Makkah, pakej murah yang kurang daripada RM4,000 sudah tentunya tidak harus dipercayai oleh umat Islam.

Pakej biasa yang ditetapkan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) adalah RM4,900 paling minimum untuk pakej 12 hari 10 malam.

Pakej umrah kini menjadi bertambah mahal berikutan kos penginapan yang semakin meningkat apabila hotel dua dan tiga bintang sudahpun dirobohkan dan digantikan dengan hotel baharu yang lebih mahal.

Bagi mengatasi masalah penipuan pakej umrah in, Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) perlu bertindak secara proaktif dengan mengambil tindakan pantas apabila adanya iklan atau promosi yang tidak boleh dipercayai.

Orang ramai juga hendaklah sentiasa berwaspada dengan syarikat yang mengiklankan pakej umrah murah pada banner yang direntang di kawasan perumahan dan tempat-tempat strategik tertentu serta yang dipromosi menerusi laman sosial.

Sekiranya mereka tidak yakin, mereka boleh menhubungi Kementerian Pelancongan dan Kemudaan bagi mendapatkan kepastian bahawa syarikat yang menawarkan pakej tersebut mempunyai lesen yang masih sah, serta turut menyediakan pakej lawatan antarabangsa yang lain.

Seperti ditegaskan menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, bakal jemaah umrah seharasnya merujuk pada laman sesawang www.motac.gov.my untuk menyemak status syarikat berlesen dan laman sesawang www.jawhar.gov.my/umrah bagi menyemak status syarikat yang mempunyai muasassah.

Sementara itu syarikat yang ditarik lesen oleh kementerian berkenaan hendaklah dipaparkan nama mereka di dalam akhbar dan laman web sebagai makluman kepada bakal jemaah.

Apapun, kita berharap jemaah akan lebih berhati-hati dalam memilih syarikat pelancongan yang mengendalikan umrah agar tidak tidak berlaku lagi masalah berhubung dengan pakej tersebut.

Pilihlah syarikat yang lebih berwibawa dan dikenali ramai agar lebih mudah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul.

Mungkin juga masalah yang timbul itu adalah satu cabaran atau dugaan di peringkat awal. Selamat menunaikan umrah.