Sunday, 25 February 2018

Perang Siber diperhebatkan Menjelang PRU-14


Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 menjadi titik tolak kepada penggunaan Internet bagi meraih sokongan daripada pengundi. Kesannya adalah di luar jangkaan dan amat mengejutkan semua pihak.

Pada ketika itu calon daripada parti pembangkang yang tidak mendapat liputan akhbar dan televisyen utama di negara ini melihat Internet sebagai satu media alternatif untuk menyampaikan mesej dalam kempen mereka.

Menurut kajian di dalam buku Pola pengundian dan isu-isu Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12 (Universiti Malaya; 2011) Internet memberi lebih ruang kepada parti pembangkang atau ‘padang yang sama rata’ dengan BN.

Katanya, peningkatan penggunaan Internet dan media alternatif khususnya oleh parti pembangkang begitu besar kesannya memandangkan kira-kira 15 juta rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet pada ketika itu.

Sudah tentunya dalam keadaan tersebut, mesej parti dan calon dapat disampaikan kepada pengundi dalam masa yang singkat dan amat berkesan, berbanding media cetak dan televisyen.
Ledakan teknologi maklumat menyebabkan ramai penduduk di negara ini dapat mengakses pandangan yang dipaparkan di dalam blog tertentu sehingga ada blogger yang tidak dikenali pun yang bertanding, boleh menang dalam pilihan raya berkenaan.

Sejak itu Internet terus memainkan peranan penting bagi penyampaian maklumat, kempen dan lain-lain. Pada pilihan raya umum berikutnya pada 2013, penggunaan internet diperkasakan lagi oleh kedua-dua pihak, parti pembangkang dan parti memerintah.  

Kini media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kita tidak dapat memisahkan diri  daripadanya. Bayangkan betapa resahnya seseorang sekiranya tertinggal telefon pintarnya di rumah sewaktu pergi kerja. Bayangkan betapa resahnya seseorang jika tidak dapat membaca mesej pada laman Whatsapp atau Instagram pada hari tertentu.

Dalam buku PRU-13: siapa pilihan pengundi (UKM, 2013) penulisnya berkata selepas 1998, media alternatif semakin popular seperti penggunaan internet, laman blog dan berita dalam talian. Natijahnya, tambah penulis berkenaan, media arus perdana semakin merosot dan kurang berpengaruh berbanding media alternatif kerana persepsi umum dalam masyarakat adalah media arus perdana bersikap berat sebelah.

Memandangkan tidak ramai rakyat Malaysia kini membeli akhbar seperti pada zaman silam, ditambah pula dengan laporan berat sebelah menyebabkan pembaca kini lebih suka beralih kepada laporan yang petik di hujung jari pada gadget masing-masing, termasuk laporan online akhbar tempatan dan antarabangsa.

Justeru pada PRU-14 ini, laporan Internet dijangka menjadi pilihan utama pembaca dan pengundi. Melalui kaedah media sosial ini, maklumat dapat disampaikan kepada sasaran 24 jam sehari tanpa mengira waktu. Pada waktu pengundi sedang nyenyak tidur laman Twitter, Blog, Facebook, Whatsapp, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), Instagram, Youtube dan lain-lain akan terus ‘bekerja’ untuk meraih undi, agar apabila kita bangun pada keesokkan harinya, mesej itu ada di hujung jari kita. 

Namun apakah semua parti politik yang bakal meletakkan calon sudah bersedia untuk berperang menerusi ruang siber? Secara perbandingan kita juga sedia maklum bahawa parti pembangkang sudah lama mahir dengan penggunaan kaedah siber ini. PRU-12 dan PRU-13 menjadi saksi betapa mereka berjaya mempengaruhi pengundi dengan laporan dan kandungan blog masing-masing.

Selain itu kedua-dua pihak juga kini turut melancarkan kempen berbentuk audio-visual iaitu video pendek dan laguserta petikan ucapan untuk menaikkan imej parti masing-masing di samping menonjolkan perkara negatif pihak lawan.

Video dan lagu itu  ditularkan menerusi Whatsapp dan laman sosial lain kepada pengundi, walaupun kesannya dalam kalangan penerimanya agak berbeza di antara satu dengan yang lain. Penyokong tegar parti dan pemimpin tertentu tidak akan terpengaruh dengan isu yang ditularkan tetapi sasaran utama kedua-dua belah pihak adalah golongan ‘pengundi atas pagar’, yang boleh membantu memberi kemenangan kepada parti tertentu.

Pastinya akan ada pengundi muda yang kemungkinan keluar mengundi buat pertama kali dalam 
hidup mereka. Golongan ini bukan pembaca akhbar dan merupakan pemain gadget tegar. Bagi mereka segala maklumat diaksesnya di hujung jari. Inilah perbezaan di antara PRU yang lalu dengan PRU-14.
-          
       * Penulis adalah bekas wartawan dan kini menjadi penulis bebas