Satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah kenyataan Dr Mahathir dalam ucapan penggulungannya mengenai perpecahan orang Melayu kerana sokongan mereka terhadap parti politik yang berbeza.
Dr Mahathir menegaskan bahawa berikutan perpecahan itu, orang Melayu terpaksa bergantung pada pihak lain untuk menentukan kemenangan. Rata-rata Perdana Menteri berkata orang Melayu di negara ini yang berjumlah kira-kira 60 peratus menjadi kecil kerana terdapat tiga atau empat parti yang mempunyai keanggotaan Melayu.
Mesej ini sepatutnya memberi tamparan kepada orang Melayu yang asyik bergeseran sesama sendiri kerana ingin merebut kuasa.Dr Mahathir bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan itu kepada parti Umno atau PAS tetapi kesalahan orang Melayu sendiri. Menurut beliau, ini berlaku kerana apabila diberikan kuasa untuk memperbaiki diri, orang Melayu berebut kuasa dan keadaan ini melemahkan diri mereka sendiri.
Sewajarnya badan pemikir parti-parti berasaskan Melayu ini duduk dan berbincang inti pati ucapan penggulungan pengerusi Bersatu ini.
Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU 14), Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa penuh selama 61 tahun. Ia tewas di tangan gabungan parti politik pembangkang kerana sikap dan budaya yang diamalkan parti berkenaan tidak lagi boleh diterima rakyat.
Umno kini di ambang keruntuhan dan sebilangan ahli parlimen serta ahlinya sudah pun mengangkat kaki meninggalkan parti tersebut untuk menyertai parti lain ataupun menjadi anggota Bebas.
Golongan ini tidak nampak hala tuju yang ingin dibawa oleh parti Umno, bahkan PAS sendiri yang menjadi rakan mereka dalam PRU-14 pun mencemuhnya sebagai bahtera yang bocor dan tidak mungkin bergabung dengannya.
Walaupun selepas pilihan raya, PAS menunjukkan kesediaannya untuk bergabung atau bekerjasama dengan Umno dalam isu-isu tertentu tetapi kenyataan yang dibuat oleh pemimpinnya sejak akhir-akhir ini tidak menjurus ke arah kerjasama yang dimaksudkan itu.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata bahtera Umno kini bocor. Seperti kaedah orang ke laut, kalau bahtera bocor, kita pergi dekat dengannya, bahtera kita pun boleh tenggelam. Demikian analogi Hadi terhadap parti Umno yang kini menghadapi masalah.
Selepas PRU 14, Umno cuba menjuarai isu-isu Melayu dan Islam. Ia tidak langsung mempedulikan perasaan rakan partinya dalam BN seperti MCA dan MIC. Ia bergerak bersama PAS dan memperjuangkan beberapa isu termasuk mengadakan perhimpunan membantah ICERD.
Mereka memperlihatkan petanda untuk bergabung dan akan mengajak parti serta badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Melayu dan Islam untuk bergabung dengan mereka.
Tetapi dalam perkembangan yang terbaru ini, kedua-dua PAS dan Umno menunjukkan arah yang berlainan. Tatkala Hadi mahu menegakkan dasar Islam dalam kerjasama yang dihasratkan itu dan menyifatkan Umno sebagai bahtera yang bocor, Umno pula mahu mengkaji semula agenda Melayunya.
Dalam hujahnya selepas memangku jawatan presiden daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hassan, atau yang lebih mesra dengan nama Tok Mat, menegaskan di laman Facebooknya bertajuk “Iltizam Umno untuk tanah air” dan saya petik seperti berikut:
“Memperjuangkan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masa agenda Melayu Umno disemak. Ia mesti direkayasa (engineered) dan diberikan lonjakan baharu”.
Beliau menambah bahawa dengan semakan semula agenda Melayu ini, Umno akan ada tawaran baharu atau “a new deal” kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.
“Inilah iltizam baharu Umno yang akan dijadikan pedoman dalam perjalanan ke hadapan. Saya berharap bahawa semua pendokong Umno berkongsi dalam iltizam ini,” tegasnya.
Maka dengan kenyataan Umno itu, tawaran kepartian akan berterusan dalam kalangan orang Melayu. Kini sudah ada sekurang-kurangnya lima entiti yang mewakili Melayu atau mempunyai keanggotaan Melayu dalam politik. Selain Umno dan Pas, tiga lagi adalah PKR, Amanah dan Bersatu walaupun pada hakikatnya PKR dan Amanah adalah parti pelbagai kaum.
Sejauh manakah kekuatan parti-parti politik tersebut ke atas kelestarian kuasa politik orang Melayu atau apakah Melayu akan terus berdamping di sisi orang lain untuk mengekalkan kuasa, seperti yang diungkapkan oleh Dr Mahathir atau mungkin akan muncul lagi parti Melayu baharu menjelang PRU 15?
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum The Malay Mail Online edisi Bahasa Melayu. Artikel ini disiarkan pada 2 Januari 2019