Sunday, 6 January 2019

Demi harapan rakyat saya terpaksa 'berlari mendahului masa' - Maszlee

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Menteri pendidikan berdepan harapan rakyat yang tinggi sehingga beliau terpaksa menjayakannya dalam tempoh yang terbatas ini, ibarat “berlari untuk mendahului waktu”.
Beginilah perbezaan yang dialami Maszlee Malik sekarang berbanding memikul tugasnya sebagai ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mempunyai visi dan misi yang berat untuk menambah baik bidang pendidikan di samping komitmen untuk menunaikan janji-janji yang dibuat ketika kempen dalam pilihan raya umum lalu.
Namun kenyataan Maszlee dalam niat pembaharuan itu sering mendapat perhatian, khususnya kritikan warga internet, dan beliau menjadi sasaran kritikan atau sindiran.
Maszlee sebelum ini seorang pensyarah kanan dalam bidang sains politik di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.
Tugasannya sebagai ahli akademik termasuklah mengajar ilmu politik kepada mahasiswa. Namun perbincangan isu politik secara ilmiah dan menjadi tokoh
politik adalah dua permainan yang berbeza sama sekali.
Ditanya mengenai perbezaan tersebut dalam pertemuan baru-baru ini, Maszlee berkata: “Menjadi ahli akademik kita diberikan banyak kelebihan dan ruang untuk berteori dan menyatakan sesuatu teori itu berdasarkan kajian dan kita jadi pihak ketiga.
“Tetapi menjadi menteri, kita tidak boleh jadi pihak ketiga. Kitalah pihak yang menerima teori orang dan menterjemah teori ke lapangan dan kitalah pihak yang bersedia menerima apa juga hasilnya dalam usaha untuk terjemah teori ke lapangan.”
Apa yang dilihatnya selepas meninjau bidang pendidikan selama enam bulan dalam kabinet? Beliau menegaskan, “sekarang tidak boleh tengok, sekarang kena buat, kita kena menjayakannya kerana waktu berlalu begitu cepat.
“Dalam keadaan harapan orang begitu tinggi, saya terpaksa berlari untuk mendahului waktu. Kalau boleh hari esok yang datang, saya hendak berada pada waktu lusa kerana harapan rakyat yang begitu tinggi dan kita lihat perkembangan itu kadang-kadang tidak secepat apa yang kita harapkan.”
Maszlee berkelulusan ijazah sarjana muda Universiti Al al-Bayt, Jordan sebelum menyambung ijazah sarjana di Universiti Malaya. Kedua-duanya dalam bidang fiqh dan usul fiqh.
Beliau menamatkan doktor falsafah di Kajian Hal-Ehwal Kerajaan dan Antarabangsa (SGIA) di Universiti Durham pada 2007 dalam bidang tatakelola kerajaan yang baik empat tahun kemudian.
Ditanya sama ada beliau mengalami satu kejutan budaya dalam tugasnya, menteri berkenaan berkata pengalaman yang dilaluinya selama enam bulan yang lepas itu “180 darjah berbeza” dalam kehidupannya.
“Kejutan, ya, tetapi memang berbaloi kerana saya memberi khidmat kepada negara. Saya benar-benar belajar makna tanah tumpahnya darahku.
“Selama ini kita menyanyi ‘Negaraku tanah tumpahnya darahku’. Kita kaitkan dengan kelahiran kita tetapi sebenarnya ia lebih jauh daripada itu, bagaimana anda tumpahkan kehidupan anda, tumpahkan waktu, usia kita.
“Malah segala keistimewaan bersama keluarga, rakan-rakan kita ketepikan. Kita tumpahkan untuk negara, untuk rakyat, untuk pembangunan masa depan negara. Saya benar-benar memahami maksud ‘Negaraku tanah tumpahnya darahku’,” tegasnya.
Maszlee mengakui bahawa beliau sememangnya menimba beberapa pengalaman yang berguna, termasuk belajar daripada kesilapannya sebagai menteri.
“Sepanjang enam bulan saya memang belajar banyak perkara, saya belajar daripada kesilapan tetapi ia amat berguna. Bukan saya sahaja yang belajar, malah saya rasakan pegawai saya turut belajar dan bagi media, mereka juga dapat belajar sesuatu yang baharu.”
Mengenai kontroversi yang sering timbul berikutan beberapa kenyataannya, sambil ketawa beliau berkata: “Apa yang tidak membinasakan diri anda, boleh membuat anda lebih kuat. Saya bertemu seorang senator di Dewan Negara, dia kata api boleh menyebabkan besi menjadi lebih kuat, begitulah dia kata.”
Beliau juga menjelaskan kenyataannya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat baru-baru ini dan salah faham yang timbul kononnya beliau ingin memasukkan isu berkenaan dalam sukatan pelajaran Sejarah.
Ketika ahli parlimen Pontian bertanya mengenai mata pelajaran Sejarah, Datuk Seri Najib Razak menyatakan perkara yang buruk dalam sejarah perlu dipelajari untuk mengelak daripada berulang.
“Saya menyambut kata-kata beliau, ya, saya bersetuju bahawa antara perkara yang buruk seperti 1MDB telah membawa perubahan kerajaan serta kejatuhan Barisan Nasional dan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.
“[1MDB] merupakan perkara yang signifikan dalam sejarah negara. Saya jamin ia akan masuk dalam sejarah kerana memang dalam sejarah Malaysia akan dikenang buat pertama kali perubahan kerajaan.
“Orang akan bertanya apakah yang menyebabkan perubahan kerajaan, sudah tentulah isu 1MDB isu yang terbesar.
“Begitu juga sejarah akan mencatatkan orang yang terlibat dalam menyamun duit akan disebut dalam sejarah. Cuma orang ramai atau media memahami saya ingin masukkan dalam silibus Sejarah kerana sebelum itu saya menjawab soalan tentang silibus Sejarah.”
Maszlee mengakui silapnya juga tidak membuat penjelasan di luar dewan bahawa maksudnya ialah perkara berkaitan 1MDB itu akan terpahat dalam lipatan sejarah negara dan bukannya sebahagian teks Sejarah.