MPN baharu ini akan diwujudkan di bawah Kementerian Pendidikan dan melibatkan perubahan nama, struktur governans dan komposisi anggotanya.
Apa yang lebih penting ialah MPN baharu ini diharapkan akan menjadi badan pemikir profesional dan tidak sama sekali terlibat dengan sebarang bentuk pendirian politik, sebagaimana MPN lama. Namun penubuhan MPN yang baharu ini belum jelas kaitannya dengan MPN yang sedia ada.
Oleh kerana MPN yang lama ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, maka ia masih lagi wujud walaupun terdapat sebuah entiti baharu yang bakal diumumkan penubuhannya oleh kerajaan. Maknanya akan ada dua MPN selepas ini, satu yang ditubuhkan pada 2010 dan diperbadankan sebagai sebuah syarikat pada 2014 dan sebuah lagi akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Presiden MPN, Prof Dr Kamaruddin M Said, majlis tersebut kini masih bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berikutan pemansuhannya seiring dengan pemansuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).
Namun, Prof Kamaruddin menegaskan bahawa MPN lama itu tidak boleh dimansuhkan kerana ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat dan hanya lembaga pengarahnya sahaja dapat membubarkannya.
MPN yang asal itu ditubuhkan pada 1 April 2010 sebagai badan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperoleh maklumat daripada pihak yang berpengetahuan tinggi tetapi akhirnya ia berunsur politik dan diperalatkan oleh kerajaan terdahulu. Ia kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri oleh kerana kegiatan keilmuannya mencakupi pelbagai bidang.
Pada 16 Disember 2014 pengurusan sekretariatnya diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan status syarikat berhad.
Prof Kamaruddin menambah, selama lapan tahun ia bergerak, MPN berjaya menggembleng ilmuan di seluruh negara bagi membincang isu strategik negara, termasuk isu keselamatan, ekonomi, sains dan teknologi, vokasional dan banyak lagi.
“Walaupun tidak lagi diletakkan di bawah kerajaan, kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan sebagai sebuah NGO dengan secara profesional dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
“Kami akan menjadi badan pemikir yang bebas,” tegas Prof Kamaruddin.
Beliau mengakui bahawa terdapat segelintir ahli MPN sebelum ini membuat kenyataan yang menghentam pemimpin dan parti politik tertentu hingga mengakibatkan imej badan tersebut tercemar.
Namun, katanya, daripada 2,900 ahli profesor, peratusan mereka yang terlibat dengan diskusi politik adalah hanya kira-kira 0.6 peratus sahaja termasuk yang bergelar profesor madya.
Tegasnya, kebanyakan ilmuan Malaysia yang bekerjasama dengan MPN bergiat dalam wacana pelbagai isu akademik dan saintifik dan tidak pun menyentuh soal politik.
Bekas felo penyelidik MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dari Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya juga mengalu-alukan pembentukan MPN yang baharu bagi membolehkan profesor dan golongan ilmuan menyumbang idea kepada kerajaan.
“Ahli badan pemikir ini boleh menyediakan kertas penyelidikan bagi membantu ketua setiausaha kementerian atau menteri dan memberi pandangan daripada pihak yang mempunyai kepakaran tertentu,” kata Dr Asri.
Dengan wujudnya dua badan pemikir ini, apakah peranan mereka kelak akan bertindih? Perkara inilah yang perlu dijelaskan apabila kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan mengumumkan struktur baharu badan pemikir tersebut dalam jangka masa terdekat ini.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum The Malay Mail Online edisi Bahasa Melayu. Artikel ini dsiarkan pada 8 Januari 2019