Minggu lalu, Pengerusi Al Quds International, Prof Dr Yusuf
Al-Qaradawi, yang juga ulama terkenal dunia mengutus surat kepada Datuk Seri Najib
Razak bagi menyatakan penghargaannya berikutan lawatan Perdana Menteri ke Gaza,
Januari lalu.
Bukan mudah bagi seseorang yang berada dalam kedudukan
beliau untuk memberi penghargaan semata-mata dengan tujuan mengambil hati.
Sudah tentu beliau melihat kesungguhan Malaysia dalam isu
yang dihadapi rakyat Palestin ini dan mempunyai maklumat serta fakta untuk
menyokong pandangannya sebelum menyampaikan penghargaan seperti yang dilakukan.
Ada kemungkinan juga Al-Qaradawi atau pemimpin Palestin yang
lain tahu bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka dalam perjuangan
menentang kekejaman Zionis itu.
Tidak cukup dengan bantuan kewangan atau barangan keperluan,
pada setiap solat Jumaat, jemaah Malaysia turut mengaminkan doa untuk
kesejahteraan rakyat Palestin.
Tidak cukup lagi, Perdana Menteri sanggup melakar sejarah
dan menempuhi risiko dengan menjejaki bumi Palestin pada 22 Januari lalu.
Ia adalah satu manifestasi bahawa kita bukan sekadar
bercakap kosong seperti orang lain yang hanya menguar-uarkannya di pentas
politik.
Penghormatan itu juga bererti pemimpin Islam dunia turut
memberi pengiktirafan mereka kepada rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) di
negara ini yang komited untuk membantu Palestin, dengan mengetepikan
kepentingan politik.
Malah sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, Malaysia sudah
memainkan peranan utama sama ada dalam isu di Asia Barat mahupun isu lain pada
peringkat antarabangsa menerusi beberapa badan antarabangsa, termasuk
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Persatuan Negara Asia Tenggara atau ASEAN dan
lain-lain.
Dalam isu Palestin, Malaysia turut menyuarakan pendiriannya
pada sidang utama dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan
membantah sikap berdolak-dalik kuasa Barat dalam mencari penyelesaian kepada
konflik di Asia Barat itu yang sudah berlarutan selama 60 tahun.
Malaysia juga antara negara yang menggerakkan bantuan
kemanusiaan ke Gaza sejak beberapa tahun lalu, menerusi kapal Rachel Corrie dan
Spirit of Rachel Corrie.
Pelbagai usaha juga dilakukan oleh beberapa NGO melalui
jalan darat, bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza, yang menjadi
mangsa serangan kejam Zionis yang kejam.
Dunia tahu bahawa apa yang sedang dilakukan oleh rejim
Zionis itu bertujuan untuk menidakkan hak rakyat Palestin di bumi mereka
sendiri, khususnya kota suci Baitulmaqdis.
Ia adalah satu bentuk penjajahan oleh Israel dan didukung
kuasa Barat. Namun di tengah kemelut itu dan usaha untuk perdamaian, tidak
banyak negara sanggup tampil untuk menghulurkan bantuan seperti pengorbanan
yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.
Seperti ditegaskan Al-Qaradawi, rakyat Palestin bukan saja
semakin menderita dengan tindakan kejam rejim Zionis itu, mereka juga sedang
berusaha untuk mengubahkan identiti Arab dan Islam kepada identiti Yahudi
menerusi 'penjajahan' tersebut.
Keprihatinan Malaysia terhadap nasib yang menimpa rakyat
Palestin itu sejak berabad lamanya itu dimanifestasikan melalui lawatan Najib.
Beliau juga mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri pertama dari negara ini
dan pemimpin Islam pertama daripada kalangan bukan negara Arab untuk sampai ke
Gaza.
Dengan mengunjungi bumi Palestin itu, Najib dapat melihat
kehidupan dan penderitaan yang dialami oleh saudara Islam kita di negara
berkenaan.
Al-Qaradawi berpendapat lawatan Perdana Menteri memberinya
peluang untuk melihat sendiri apa yang berlaku di Gaza dan dibuat atas faktor
kemanusiaan selain menjadi simbol sokongan kuat Malaysia terhadap Palestin.
Kehadiran Najib di Gaza juga menunjukkan kepada masyarakat
dunia bahawa Malaysia masih meneruskan azam yang dimulakan oleh pemimpin
sebelum ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
memberi sokongan kepada perjuangan umat Islam di Palestin.
Langkah Najib mengunjungi Gaza juga sejajar dengan suara
masyarakat dunia yang ingin mengangkat status Palestin kepada negara pemerhati
bukan anggota di perhimpunan agung PBB.
Seperti ditegaskan Al-Qaradawi, kunjungan Najib yang dibuat
atas dasar kemanusiaan selepas Gaza diserang Israel, November lalu, menyuburkan
harapan jutaan rakyat Palestin yang sudah lama mengimpikan kemerdekaan di bumi
mereka.
Apapun, lawatan Najib dengan jelasnya memberi mesej kepada
masyarakat antarabangsa bahawa mereka perlu lebih tegas dan berani dalam usaha
menamatkan sekatan yang dikenakan pihak Zionis di Palestin. - Berita Harian, 14 Mac 2013