Kita sering meneliti tarikh luput pada barangan yang dibeli
di kedai. Ia seolah-olah menjadi tabiat kepada kita. Kalau hampir luput, sudah
tentu kita tidak akan membelinya. Yang sudah luput pula akan
dibuang.
Tetapi kini menjelang Pilihan raya Umum Ke-13
(PRU-13) ini, timbul pula istilah `calon yang sudah luput' tempohnya. Maknanya
calon berkenaan orang yang sudah terlalu lama menduduki tempat sebagai wakil
rakyat dan enggan berganjak memberi laluan kepada orang
lain.
Baru-baru ini penulis agak tertarik dengan kenyataan
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berkata, beliau bukan saja akan
tetap bertanding dalam PRU-13 ini, bahkan akan terus bertanding sampai
bila-bila walaupun terpaksa menggunakan kerusi
roda.
"Kalau parti suruh bertanding, saya bertandinglah,
kalau parti kata cukup, cukuplah," katanya. Hebat kenyataannya itu. Nik
Aziz kini sudah menjangkau usia 82 tahun dan memegang jawatan Menteri Besar
Kelantan selama 22 tahun.
Dalam parti, beliau dilantik sebagai
Mursyidul Am PAS sejak 1987. Pada usia dan pengalaman yang begitu lama itu, Nik
Aziz kenalah sedar bahawa beliau tidak seharusnya 'terlalu lama' memegang jawatan
itu.
Takkan beliau hendak tunggu Datuk Mustafa Ali (Setiausaha
Agung PAS) menyatakan: "Cukuplah tuan guru, kami mahu orang lain."
Lagipun dalam PAS bukankah Majlis Syura yang dipengerusikan Nik Aziz itu
sendiri yang berkuasa menentukan calon.
Soal naik turun pemimpin
perkara lumrah dalam dunia politik, tidak kira di negara mana sekalipun. Ada
terpaksa berundur kerana desakan orang ramai, seperti di Asia Barat dan ada
yang berasa cukup sampai di situ saja.
Apapun alasannya,
peralihan kuasa dan mengganti yang lama dengan baru seharusnya berlaku tanpa
sebarang masalah. Pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah beberapa kali bersilih
ganti tanpa ada kesan yang memudaratkan kepada parti dan
negara.
Apa yang diperlukan hanya komitmen, kesanggupan dan
keberanian melepaskan jawatan atau kedudukan kepada orang
lain. Sabtu lalu, dalam temu bual dengan New Straits Times,
bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyatakan harapannya agar lebih
banyak muka baru dibawa masuk ke dalam Kabinet.
Beliau berpendapat kebanyakan
mereka adalah 'kayu mati' atau sudah melepasi tarikh
luput. Maksud beliau jelas dan kita menjangka perkara itu
dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-13 ini. Ia
adalah pandangan ikhlas dan jujur Daim kepada Najib.
Kita pasti ia tidak sukar
dilaksanakan apabila tiba masanya. Namun, satu hakikat yang
kita tidak dapat tolak ke tepi ialah ketidaksediaan pemimpin pembangkang
berbuat demikian.
Dulu ramai ahli pembangkang mendesak Tun Dr
Mahathir Mohamad turun daripada jawatan Perdana Menteri, tetapi selepas Dr
Mahathir berbuat demikian pada 2003, sampai sekarang pun barisan pemimpin
pembangkang yang juga lanjut usia, masih enggan melepaskan jawatan atau
kedudukan masing-masing.
Malah, mereka masih ghairah untuk
bertanding lagi dalam PRU-13 ini. Selain Nik Aziz, rakan seperjuangannya
seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang juga sudah 'luput tarikh' turut
teruja hendak bertanding di tempat baru.
Terbaru kita dengar
cerita mereka ingin berpindah ke Johor pula. Apalah yang boleh dilakukan oleh
kedua-dua tokoh 'luput tarikh' ini jika mereka menang dalam pilihan
raya?
Selain itu, kita juga mendengar banyak pandangan oleh
ramai pemerhati dan tokoh politik mengenai perubahan demografi pengundi dan
ledakan teknologi maklumat dalam kalangan orang muda di negara
ini.
Masanya sudah tiba bagi pemimpin lama ini mengakui bahawa
zaman mereka sudah berlalu. Serahkan tanggungjawab ini kepada orang lebih muda
dan mereka yang mempunyai kelayakan.
Justeru, kenyataan Nik Aziz bahawa beliau
akan terus bertanding pada PRU-13 dilihat sebagai kurang wajar kerana sudah
lama di tampuk pemerintahan, malah sudah menjadi wakil rakyat kira-kira 40
tahun.
Apakah dengan tempoh itu pun beliau perlu meminta
supaya parti menyatakan cukuplah, baru hendak berundur?
Oleh
itu, tidak kiralah sama ada Nik Aziz, Kit Siang atau Karpal, masa mereka sudah
'luput' dan kalau masih berkeras juga untuk bertanding, mereka sekadar pemimpin
'recycle' yang dikemukakan oleh parti masing-masing. - Berita Harian, 28 Mac 2013