Perbuatan mensabotaj parti diakui sebagai antara punca
kekalahan Barisan Nasional (BN) di kebanyakan kawasan dalam pilihan raya umum
lalu.
Menyedari hakikat itulah, maka parti berkenaan kini
mengambil langkah lebih berhati-hati dalam menangani perasaan tidak puas hati yang
mungkin timbul dalam kalangan ahli yang tidak dipilih sebagai calon atau yang
menganggap sudah tiba masanya nama mereka 'naik' kali
ini.
Dengan pembubaran yang dijangka tidak lama lagi, senarai
calon dikatakan sudah hampir siap sepenuhnya. Mungkin kalau ada perubahan pun,
tidak banyak dan boleh dibereskan sebelum hari penamaan
calon.
Laporan media sebelum ini membuat andaian bahawa kali
ini sebahagian besar calon terdiri daripada mereka yang berusia 45 tahun ke
bawah, selari dengan demografi pengundi yang juga semakin
muda.
Penentuan calon Soal penentuan calon
ini bukannya satu perkara mudah kerana di samping membuat pemilihan orang yang
sesuai, pucuk pemimpin parti juga kena menimbangkan segala kemungkinan yang
boleh mendatangkan masalah.
Selain menjaga hati `warlord',
parti juga kali ini perlu mengenengahkan calon boleh menang agar jumlah kerusi
yang ada sekarang sama ada Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal
pada BN.
Dalam politik, kesempatan untuk menjadi calon adalah
satu pengiktirafan kepada perjuangan seseorang ahli selama dia berada dalam
parti. Bukan sesuatu yang rahsia lagi bahawa perbuatan sabotaj boleh
mendatangkan masalah besar kepada parti, yang selalunya berlaku selepas
pemilihan calon.
Namun ahli BN khususnya UMNO perlu menerima hakikat
bahawa selepas PRU-12, senario politik negara sudah berubah. Keadaan di mana
orang yang sudah lama berkhidmat perlu diberikan tempat sudah tidak relevan
lagi kerana apa yang lebih penting ialah survival parti, bukannya
individu.
Keadaan semasa juga mendesak pucuk pemimpin parti
memilih calon boleh menang, yang diterima khalayak dan mampu melaksanakan
tugasnya sebagai wakil rakyat. Tetapi tugas untuk menentukan
calon bukannya senang untuk dilakukan dan menjadi 'beban' kepada presiden
parti.
Selain memenuhi kehendak ahli dan warlord, presiden juga perlu mengambil
kira sama ada calon itu boleh menang dan diterima pengundi. Selain itu,
terdapat pula permintaan parti komponen yang perlu
dihormati.
Dalam PRU-13 ini, BN berazam untuk merampas balik
kerusi yang hilang pada pilihan raya umum lalu. Maka tidak hairanlah pada
saat-saat akhir sebelum Parlimen dibubarkan, BN perlu mengingatkan semula
ahlinya supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menggagalkan
peluang parti pada hari pengundian kelak.
Rabu lalu, Pengerusi
Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen menegaskan bahawa ahli
hendaklah mengelakkan sebarang perbuatan mensabotaj calon yang dipilih untuk
bertanding.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas
mereka yang melakukan perbuatan berkenaan, termasuk dengan menyingkir daripada
parti ataupun menggantung keahlian mereka. Setiausaha Agung
BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menegaskan sebaik saja calon diumumkan,
semua pihak perlu akur dan pegang pada janji yang dibuat dalam perjumpaan
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini sama ada dalam
mesyuarat, perhimpunan agung dan lain-lain.
"Kita kena
berpegang pada janji yang dibuat dalam perjumpaan di antara presiden parti
dengan perwakilan dan ketua bahagian. Tidak harus berlaku lagi sebarang
perbuatan khianat," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha
Agung UMNO mengingatkan bahawa tiada sesiapapun boleh menceroboh parti
berkenaan kecuali jika ada ahli yang membuka ruang itu untuk mereka. Tak
puas hati pemilihan
"Parti lawan bukannya kuat sangat
tetapi oleh kerana ada pihak tidak puas hati dengan pemilihan calon, maka
berlakulah perkara yang boleh menjejaskan parti,"
katanya. Tambahnya, UMNO memandang serius soal sabotaj ini
menyebabkan pada pilihan raya umum ini parti berkenaan menempatkan wakilnya di
bahagian bagi menentukan tidak berlaku perbuatan
khianat.
Katanya, pemantau sudah dihantar ke kawasan Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri untuk memantau dan melaporkan sebarang elemen sabotaj
dalam parti. Anggotanya terdiri daripada empat ahli majlis tertinggi dan empat
ahli lembaga disiplin.
"Semua orang tahu siapa mereka. BN
tak sorok siapa mereka dan telus dengan soal ini," katanya dan menambah,
parti akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mengkhianati parti
dalam pilihan raya umum ini. - Berita Harian, 29 Mac 2013