Thursday, 16 May 2013

Menteri kena kerap turun padang

Hari ini barisan Kabinet Datuk Seri Najib Razak dijangka diumumkan, berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.

  Sejak keputusan pilihan raya diumumkan, senarai anggota Kabinet adalah perkara terpenting yang dinanti-nantikan orang ramai. Banyak pendapat diutarakan menerusi media sama ada media cetak mahupun media sosial lain.
  Harapan mereka agar barisan Kabinet yang bakal menjadi penentu masa depan negara, terdiri daripada mereka yang benar-benar komited, berintegriti dan berwawasan.

  Mereka juga menyuarakan harapan agar kali ini tidak ada lagi ‘dead wood’ dalam Kabinet seperti yang pernah dikatakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, sebelum pilihan raya umum lalu.
  Minat yang ditunjukkan terhadap keputusan pilihan raya dan siapa yang bakal diangkat sebagai menteri itu menunjukkan bahawa rakyat sedang memerhati apa yang dilakukan kerajaan.

  Proses demokrasi di negara ini juga sudah maju setapak lagi di mana rakyat turut memberi pandangan dalam keputusan tertentu oleh Perdana Menteri yang sebelum ini mungkin dianggap sebagai ‘sacred’ atau tidak boleh dicampuri orang lain.
  Sebagai Perdana Menteri yang bersikap terbuka dan liberal, Najib sudah tentunya boleh menerima semua pandangan yang diberikan oleh orang ramai.

  Banyak spekulasi dibuat mengenai siapa akan dilantik ke jawatan ini dan itu. Antara mereka termasuk seorang tokoh media dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
  Ramai juga agak teruja untuk melihat siapa yang akan Perdana Menteri lantik untuk mengisi kekosongan yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA berikutan pendirian parti berkenaan enggan menerima jawatan kerajaan.

  Ada yang menjangka beberapa tokoh profesional dan intelektual Cina akan dilantik sebagai Senator bagi membolehkan mereka  kemudian menjadi anggota Kabinet bagi mewakili masyarakat berkenaan.
  Ini kali pertama dalam sejarah yang mana sebuah parti komponen BN enggan menerima jawatan Kabinet selepas pilihan raya umum. Dalam PRU-13 itu, MCA bertanding di 37 kawasan Parlimen dan menang di tujuh kawasan.

  Berikutan keputusan buruk itu yang juga pertama dalam sejarah parti berkenaan, terdapat gesaan pelbagai pihak yang mahukan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatannya dan menyerahkan kepemimpinan kepada timbalannya.
  Soi Lek bagaimanapun enggan tunduk kepada desakan itu sekarang dan akan berbuat demikian menjelang akhir tahun ini.

  Namun semalam MCA terpaksa akur dengan permintaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan wakil Cina dilantik ke barisan EXCO kerajaan negeri. Jawatan itu diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong daripada MCA.
  Selain itu, kesediaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin untuk menawarkan khidmatnya selaku anggota Kabinet juga dilihat sebagai satu kelainan kali ini. Khairy, 37, yang menang dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada 2009, berkata beliau ingin memainkan peranan lebih besar bagi membantu kerajaan.

  Beliau juga berharap Perdana Menteri akan membariskan jemaah menteri yang segar supaya mendapat keyakinan rakyat.         
  Maknanya, rata-rata pandangan umum ialah mereka mahukan orang baru walaupun muka lama masih diperlukan tapi tidak begitu ramai.

  Kabinet pilihan Najib itu harus terdiri daripada mereka yang boleh membantu beliau mengemudikan negara dan menghadapi cabaran besar yang menanti dalam tempoh lima tahun akan datang.
  Rakyat juga ingin melihat lebih ramai muka baru daripada UMNO memandangkan parti itu menang lebih banyak kerusi dalam PRU-13. Dalam situasi berkenaan, tidak wajarlah sekiranya ada muka lama yang kalah turut diberikan peranan atau ada calon kitar semula daripada barisan Kabinet dulu.

   Apapun, soal pelantikan menteri itu adalah hak Perdana Menteri. Walaupun banyak pihak memberi pandangan, beliau juga mempunyai kriteria dan alasannya tersendiri untuk memilih orang tertentu.
  Kita hanya sekadar menyatakan harapan agar mereka yang bakal memegang jawatan berkenaan  lebih mesra rakyat, selalu turun padang dan prihatin dengan masalah rakyat.

  Selamat berkhidmat.  - Berita Harian, 15 Mei 2013