Thursday, 16 January 2014

Betulkan persepsi terhadap Islam - Erdogan

Kuala Lumpur menjadi platform penting kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk menjelaskan pendiriannya mengenai Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

 Mesej beliau pada Jumaat lalu dalam isu berkenaan adalah jelas, bahawa Islam adalah agama kedamaian dan tidak harus disalah tafsir atau diperalatkan oleh mana-mana pihak. Agama dan keganasan tiada kaitan. Bahkan semua agama terutama Islam tidak menyokong keganasan.

Namun, masih ada golongan yang menyalah gunanya dengan melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan nama Islam sendiri. Masalah tertentu yang dilakukan oleh sesetengah golongan ini menyebabkan seluruh umat Islam dunia dikaitkan bersama.
Keganasan adalah perbuatan jenayah dan kempen untuk mencerca dan menghina nama Islam ini dilakukan dengan secara berterusan.

Golongan ini tidak langsung membantu agama Islam. Malangnya ada pihak yang mengaku diri mereka sebagai orang Islam tapi sanggup melakukan pembunuhan termasuk ke atas kanak-kanak.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyekatnya, kata Perdana Menteri Turki itu ketika menyampaikan Syarahan Ulung Tun Razak bertajuk `Mentransformasi Asia-Pasifik dan Turki' dalam lawatan dua harinya ke Kuala Lumpur Khamis dan Jumaat lalu.

 Syarahan anjuran Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketibaan kedua-dua pemimpin ini pada majlis itu diberi tepukan gemuruh.
Erdogan menegaskan, Turki sememangnya menentang segala bentuk keganasan. Dalam isu Palestin di mana Israel melakukan pencerobohan ke atas penduduk Islam di Gaza, kelantangan Erdogan sememangnya dikenali dunia.

 Masih segar dalam ingatan kita bagaimana beliau menempelak Presiden Israel, Shimon Peres pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland (WEF) pada 2009 lalu, ketika sidang plenonya sedang hangat berdebat mengenai serangan tentera Zionis ke atas Gaza.

Selepas membidas pemimpin Israel itu kerana menghalalkan pembunuhan di Palestin, lalu beliau pun bergegas bangun dan meninggalkan forum berkenaan dengan berjalan di hadapan Peres.
Namun, walaupun sebagai ahli politik, beliau juga tidak terlepas daripada cabaran di negaranya sendiri seperti dihadapinya sekarang, pendirian yang dipegangnya itu tetap tidak berubah apabila ia menyentuh isu mengenai ancaman terhadap umat Islam dunia.

Katanya, Ankara sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan Kuala Lumpur dalam usaha membersihkan tanggapan salah masyarakat dunia yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Sambil mengecam sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap tindakan rejim Israel menindas rakyat Palestin, beliau menegaskan semua pihak sepatutnya berasa bertanggungjawab untuk membela umat Islam.

Malaysia dan Turki, tambahnya, adalah bukti nyata dan contoh terbaik demokrasi dan Islam boleh wujud secara sealiran.

"Kami menganggap Malaysia sebagai saudara yang begitu dekat di hati kami. Persaudaraan ini harus diteruskan dan saya mengalu-alukan sesiapa saja dari Malaysia ke negara kami," kata beliau.
Katanya, hubungan Turki dengan negara di rantau ini sudah dijalinkan sejak dahulu lagi, lanjutan daripada usaha yang dimulakan oleh Empayar Uthmaniah di mana Turki pernah membantu dan berjuang bersama umat Islam di Andalusia, Aceh, Sumatera dan Melaka.

 Erdogan berada di Malaysia dalam rangka lawatan kerja dua hari sebagai menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Turki yang wujud pada 1964.

 Dalam lawatan singkatnya itu, pemimpin Turki itu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan daripada Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 Ia adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau memacukan kejayaan Turki serta satu pengiktirafan kepada Erdogan yang banyak memperjuangkan amalan demokrasi, hak asasi, kebebasan serta pendekatan kemanusiaannya dalam menyelesaikan pelbagai konflik.
  Harapannya agar kerjasama ekonomi kedua-dua negara dapat dipertingkatkan menerusi Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja untuk Kerjasama Strategik. Malaysia dan Turki juga berharap dapat menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April depan di Ankara bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala. - Berita Harian, 14 Januari 2014