Thursday, 16 January 2014

Menteri, kerajaan perlu tegas dalam menangani isu kalimah Allah

 Umat Islam sudah tentunya menyambut baik langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Negeri bagi mempertahankan akidah Islam, khususnya bagi memelihara kesucian kalimah Allah.

 Serentak dengan itu, kita juga mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelmarin, bahawa kerajaan akan sentiasa mengawal dan mencegah propaganda fahaman pluralisme yang kian berkembang di negara ini.
  Dalam menghadapi isu sedemikian, ketegasan pihak berkuasa sememangnya amat diperlukan. Umat Islam sudah tentunya menaruh harapan kepada Jamil Khir untuk menangani apa juga masalah berkaitan agama Islam dengan tegas dan tidak membiarkannya berlarutan.

  Isu kalimah Allah itu timbul semula baru-baru ini apabila Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew berkeras untuk terus menggunakannya walaupun Sultan Selangor bertitah penggunaannya dihentikan serta-merta bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.
  Ini disusuli pula dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas pejabat Pertubuhan Bible Malaysia di Damansara diikuti dengan rampasan lebih 300 kitab Bible versi bahasa Melayu.

 Berikutan kenyataan paderi berkenaan, sebahagian besar pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan pelbagai pihak lain membuat laporan polis selain mengadakan bantahan secara terbuka.
  Jika isu ini tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Justeru, sebelum ia menjadi lebih besar, sewajarnya ia dibawa ke meja perbincangan dan diperjelaskan seperti `menarik rambut dalam tepung', rambut ditarik dan tepung tidak berselerak'.

 Isu ini boleh dirumuskan daripada beberapa aspek berikut: Iaitu orang bukan Islam di negara ini berpendapat kononnya mereka boleh sewenang-wenangnya menggunakan kalimah Allah kerana secara universal ia membawa erti yang sama dengan Tuhan.
  Dalam konteks kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, mereka hendaklah memahami sensitiviti kaum lain seperti diamalkan sebelum merdeka lagi. Justeru, untuk menyatakan bahawa kalimah Allah secara relatifnya juga memberi pengertian Tuhan untuk agama lain adalah tidak sesuai konteksnya dengan keadaan kita di negara ini buat masa ini.

 Walaupun penggunaan kalimah berkenaan oleh gereja tiada kaitan langsung dengan usaha untuk memurtadkan orang Islam, namun dalam suasana keterbukaan dan kebebasan itu, tiada jaminan bahawa ia boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan.
  Ada pihak mungkin berpendapat kekeliruan tidak berlaku jika iman dan akidah umat Islam itu kukuh. Realitinya, bukan mudah untuk menentukan tahap keimanan seseorang walaupun secara hakikinya semua orang Melayu di negara ini menganuti agama Islam.

 Masih ada beberapa kes terpencil yang mana ada kalangan orang Melayu terpesong akidahnya atas beberapa sebab termasuk terpengaruh dengan orang lain dan sebagainya.
Maknanya, kita belum bersedia untuk menerima kesejagatan dalam penggunaan kalimah Allah seperti diinginkan oleh kelompok tertentu di negara ini.

 Apapun, penyelesaian kepada isu ini perlu bersandarkan kepada kewarasan dan bukannya emosi. Pendirian beberapa pihak seperti Presiden Majlis Perundingan Buddhist, Kristian, Sikh dan Tao mengenai perlunya diadakan dialog adalah langkah terbaik bagi mengelak pergeseran antara kaum.

 Begitu juga dengan langkah yang bakal diambil Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang baru ditubuhkan yang mahukan isu serbuan dan rampasan Bible itu diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan perpaduan nasional.
  Dalam pada itu, kedua-dua pihak perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan selama ini. Mereka hendaklah berhati-hati agar tidak ada elemen ketiga yang cuba mengambil kesempatan daripada isu berkenaan untuk melagakan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 Ura-ura pihak tertentu untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 bukan saja tidak membantu situasi dihadapi sekarang, bahkan menambahkan kekeruhannya. - Berita Harian, 16 Januari 2014