Friday, 10 January 2014

Hubungan istimewa Ankara - KL perlu diperkukuhkan

Malaysia bukan saja mempunyai hubungan akrab dengan Turki tetapi juga persamaan dalam banyak perkara termasuk perjuangan untuk menyelamatkan umat Islam yang ditindas di Palestin dan kumpulan etnik Rohingya di Myanmar.

  Kedua-dua negara juga pernah menyertai misi bersama antarabangsa bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 2010. Misi yang dianjurkan Yayasan Keamanan Global (GPF) untuk Malaysia itu menggunakan kapal MV Mavi Marmara milik Turki.

  Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini hari ini, juga bukan tokoh asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketegasan beliau dalam isu Palestin serta kekejaman Israel sememangnya diketahui umat Islam di seluruh dunia.

  Erdogan, yang mengetuai delegasi 97 orang terdiri daripada pemimpin barisan tertinggi negaranya termasuk Timbalan Perdana Menteri serta tujuh menteri - yang mewakili hal ehwal Eropah, ekonomi, pengangkutan, hal ehwal maritim dan komunikasi, belia dan sukan, pertahanan serta alam sekitar dan tenaga, menunjukkan betapa kerajaan Turki meletakkan keutamaan tinggi dalam hubungannya dengan Malaysia.

  Dalam lawatan itu, beliau turut diiringi isterinya, Emine Erdogan dan beberapa Ahli Parlimen dan pegawai tinggi kerajaan.

  Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Najib sendiri pernah melakukan lawatan bersejarah ke Ankara dan Istanbul pada Februari 2011, selepas 28 tahun sejak lawatan terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983.

  Lawatan Erdogan hari ini juga mengambil sempena ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Turki pada 1964 dan sudah tentunya kunjungan beliau kali ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang membina dan positif.

  Selain komitmen dalam perjuangan menentang kekejaman Zionis di Palestin, kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai bidang lain.

  Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, berkata Malaysia dan Turki adalah antara segelintir negara di dunia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

  Kedua-dua negara juga, tambahnya, boleh dianggap lebih maju daripada negara lain yang juga menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

  “Kita berpegang pada pemerintahan awam melalui sistem demokrasi berparlimen dan bukannya pemerintahan tentera.

  “Dari segi sejarah Turki mungkin ada kelainan sedikit sebelum ini, kadangkala diperintah oleh orang awam dan kadangkala oleh tentera. Tapi sejak 11 tahun lalu, Parti AKP pimpinan Erdogan terus berpegang pada pemerintahan awam,” kata beliau.

  Satu lagi persamaan kedua-dua negara ialah ekonominya yang berorientasikan pasaran dari segi pelaburan, pembangunan prasarana dan sosial. Kedua-duanya juga mempunyai kelas menengah yang tinggi.

  “Jika dilihat dari segi sejarah, zaman Kesultanan Melayu Melaka dulupun sudah mempunyai hubungan dengan Empayar Uthmaniah.

  “Kita tahu latar belakang pengasas UMNO, ibu Datuk Onn Jaafar adalah orang Turki kerana hubungan antara Sultan Abu Bakar dengan pemimpin Uthmaniah dulu. Maknanya Tun Hussein Onn dan keluarganya juga mempunyai darah Turki.

  “Begitu juga dua bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz dan Prof Syed Hussein Alattas,” kata Dr Chandra.

  Selain itu, Presiden JUST itu menambah, keakraban kedua-dua negara juga dapat dilihat menerusi jalinan bandar raya berkembar antara Johor Bahru dan Istanbul.

  Dari segi perjuangan, Chandra berkata, di samping Palestin, Turki dan Malaysia juga menyokong  hak rakyat Rohingya dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

 “Semua ini menjadikannya sebab kenapa hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Ankara ini harus diperkukuhkan,” kata beliau.

  Hari ini, selain pertemuan dua hala dengan Najib, Erdogan dijadualkan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Transformasi Asia Pasifik dan Turki’ pada Majlis Syarahan Terkemuka Tun Abdul Razak anjuran Yayasan Penyelidikan mengenai Transformasi (FORT) dan Razak School of Government (RSOG).

  Beliau juga akan menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan oleh Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) iaitu institusi penyelidikan dan kesarjanaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - Berita Harian, 10 Januari 2014