Thursday, 2 January 2014

Kenapa azam tahun baharu kita cepat pudar?

1 Januari - Hari ini adalah hari pertama 2014. Tepat pada detik 12.00 minit malam tadi, kita baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada 2013. Pada hari ini, kita membuka satu lembaran baru dalam kehidupan selama setahun lagi selagi masih ada umur.

 Bak kata pujangga, tahun baharu adalah seperti muka surat kosong pertama daripada buku setebal 365 muka. Oleh itu tulislah dengan sebaik mungkin.
  Apakah azam kita pada 2014 ini? Selalunya kita akan mendengar orang berkata mereka ingin menambahbaik kehidupan dengan pelbagai cara.

 Mungkin ada yang berazam untuk mengawal pengambilan makanan menggemukkan dan ingin lebih banyak beriadah atau ke gimnasium untuk mengurangkan berat badan.
 Mereka yang belum berkahwin pula ingin menamatkan zaman bujang tahun ini atau melunaskan hutang kad kredit. Ada juga yang mungkin berazam untuk minum lebih banyak air atau makan lebih banyak sayur-sayuran serta makanan berserat.

 Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula tentunya berazam untuk menambah lagi rezeki sama ada dengan bekerja lebih keras atau mencari pekerjaan baru bagi menampung pelbagai kenaikan kos tahun ini.
  Apapun, dari segi ekonomi, harapan rakyat ialah agar pertumbuhan tahun ini meningkat manakala kadar inflasi kekal stabil dan tidak membebankan supaya kualiti kehidupan terus berada pada paras yang baik atau sekurang-kurangnya tidak mengalami penurunan.

 Kerajaan juga sudah mengumumkan 11 langkah berjimat dalam usaha mengurangkan perbelanjaan sektor awam mulai hari ini. Selaras dengan tindakan itu, semua pihak turut digalakkan supaya mengamalkan penjimatan bagi mengatasi beberapa peningkatan kos tahun ini.  
  Tidak kira apapun azam yang ditanam dalam sanubari, yang penting ialah semua orang ingin membuka buku baru sempena tahun baru ini. Semuanya bertujuan memperbaiki kelemahan dan membetulkan kesilapan lalu.

 Tidak salah bagi kita menanamkan azam kerana ia menunjukkan bahawa kita adalah golongan manusia yang masih ada cita-cita dalam kehidupan. Orang yang tidak ada azam tidak ada arah tujuan dalam hidup mereka.
  Tetapi sejauh manakah kita mampu memenuhi azam kita pada tahun lalu? Satu kajian oleh Universiti Scranton, Pennsylvania (BH Ahad, 29 Disember) menyatakan bahawa kira-kira 40 peratus daripada manusia membuat azam setiap kali tibanya tahun baru.

 Namun, menurut penyelidiknya, Dr John Norcross, minat untuk menyempurnakan azam itu merosot dalam tempoh enam bulan selepas itu. Kajiannya mendapati azam berada pada tahap 71 peratus selepas dua minggu, kemudian jatuh kepada 64 peratus selepas sebulan dan 46 peratus selepas enam bulan.
  Akhirnya, azam untuk kurus, contohnya, akan hanya tinggal sebagai azam, begitu jugalah dengan azam untuk bekerja kuat akan terus berada pada tahap mendatar, sama seperti tahun sebelumnya.

 Kenapakah sukar untuk kita mengekalkan azam tahun baru? Masalahnya ialah kita selalunya hanya bersemangat pada peringkat permulaan tetapi kemudian menjadi bosan kerana tidak nampak hasilnya dalam tempoh singkat.
 Kata Profesor Meg Meloy daripada Pennsylavania State University, kesukarannya timbul kerana kita sentiasa berhadapan dengan cabaran tempoh masa. Kalau kita tidak sabar, sudah tentunya matlamat yang ditetapkan itu tidak akan dicapai.

 Justeru, cabaran pertama kita pada hari ini ialah untuk mengubah sikap lama. Ia bukannya sesuatu yang mudah dilakukan dan memerlukan kesedaran serta komitmen tinggi daripada setiap individu.
  Sebagai orang awam, kita mungkin boleh membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menjadikan Malaysia negara lebih bersih dengan tidak membuang sampah di merata tempat. Gerai dan kedai makanan juga mesti bersih dan bebas daripada makhluk perosak seperti tikus, lipas, semut dan lain-lain.

  Kenapa kita tidak boleh menjadi sebersih sesetengah negara maju sama ada di Eropah mahupun di Australasia? Isunya di sini ialah sama ada kita mahu ataupun tidak. 
  Marilah kita mula mengisi ruang kosong dalam muka surat pertama tahun ini dengan sesuatu yang lebih bermakna. Langkah paling mudah ialah dengan tidak membuang sampah dengan sesuka hati tetapi di tempat yang disediakan.

 Selamat menyambut tahun baharu!