Selain ia satu
perbuatan tidak bertanggungjawab, maklumat tidak tepat juga boleh menambahkan
lagi keresahan anggota keluarga penumpang dan krew dalam pesawat berkenaan.
Sejak kejadian
berkenaan diketahui umum, tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS)
itu mendapat perhatian seluruh dunia dan menempa ruangan utama dalam laporan
saluran berita antarabangsa seperti CNN, BBC dan Al Jazeera.
Namun apa yang
menjadi kebimbangan adalah luahan pendapat dan interpretasi pihak tertentu
mengenai kejadian itu yang sehingga kini pun masih lagi dianggap sebagai satu
misteri.
Memandangkan kejadian
itu bukan sahaja membabitkan mereka yang berada di dalam pesawat berkenaan
tetapi juga anggota keluarga mereka yang menanti dengan penuh debaran, adalah
wajar semua pihak menghentikan spekulasi, andaian dan luahan pendapat tidak
tepat dan tidak berasas yang hanya boleh memudaratkan lagi situasi.
Walaupun sudah
melebihi tempoh tertentu, namun kita ketahui bahawa anggota keluarga berkenaan
masih lagi menaruh harapan tinggi agar berlaku keajaiban yang boleh membawa
berita kegembiraan kepada mereka.
Pesawat MH 370
berkenaan dilaporkan hilang di udara pada jam 1.30 pagi 8 Mac lalu, kira-kira
40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) untuk ke destinasinya, Beijing.
Sebaik sahaja pesawat
yang membawa 227 penumpang dan 12 krew itu hilang daripada radar, bermulalah
misteri yang kini diberikan tumpuan khas oleh dunia.
Semalam Timbalan
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari memberitahu sidang
Dewan Rakyat bahawa sehingga kini suruhanjaya berkenaan menerima lima aduan
mengenai dakwaan penyaluran maklumat palsu di media sosial berhubung
penerbangan ke Beijing itu.
Katanya, aduan turut
membabitkan remaja yang memuat naik posting dalam akaun Facebook mereka.
Dalam kenyataannya,
Jailani mengingatkan semua pihak agar mengambil langkah berjaga-jaga dan
beretika apabila memuat naik posting dalam Facebook, Twitter dan WhatsApp
terutama mengenai isu yang menyentuh perasaan anggota keluarga mangsa pesawat
ini.
Walaupun paparan di
internet itu bebas, sebagai manusia kita seharusnya menggunakan budi bicara
masing-masing dalam menilai apa yang boleh dilakukan dan apa pula yang tidak
boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya.
Melihat pada
kesungguhan pihak berkuasa dalam menangani kejadian ini, sebagai anggota
masyarakat yang prihatin, kita sepatutnya mendoakan keselamatan pesawat MH 370
itu serta penumpanganya.
Pada saat-saat yang
cemas ini, kita juga tidak memerlukan laporan negatif bertujuan memburukkan
Pembantu Juruterbang, Farid Abdul Hamid seperti yang dilaporkan oleh stesen
televisyen Channel 9 Australia.
Kelmarin Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu sidang akhbar bahawa pihaknya
tidak menolak sebarang andaian dan kini memberi tumpuan kepada kemungkinan
berlakunya rampasan, sabotaj atau masalah psikologikal atau peribadi dalam
kalangan penumpang atau krew penerbangan.
Operasi menyelamat
(SAR) kini membabitkan 42 kapal dan 35 pesawat dari negara Asia Tenggara,
Australia, China, New Zealand dan Amerika Syarikat. China, yang mempunyai 153
orang warganya dalam pesawat berkenaan, turut menggunakan 10 satelit yang
dilengkapi dengan pengimejan beresolusi tinggi untuk membantu dalam
penyiasatan.
Sementara itu, Boeing
pula turut menyertai pasukan kerajaan AS bagi merungkai apa yang sebenarnya
berlaku pada pesawat 777-200 mereka itu.
Justeru sehingga ada
perkembangan lebih konkrit yang merungkai segala-galanya, adalah wajar kita
elak daripada mengeluarkan pandangan melalui media sosial yang tidak langsung
dapat membantu dalam usaha menyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa.
Dalam situasi
sekarang, adalah lebih baik kita menggunakan akal fikiran sendiri dan bukannya cuba melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa termasuk di peringkat antarabangsa.