Friday, 4 April 2014

Nukilan Musa Hitam mengenai ekonomi negara Islam dalam buku barunya

Negara Islam selalunya menerima tanggapan tidak betul dan sering menjadi tajuk utama akhbar atas tujuan yang salah kerana terlalu banyak penekanan diberikan kepada perbezaan ideologi.

  Sepatutnya negara Islam menggunakan Islam sebagai kuasa penyatuan bagi membolehkan perniagaan dijalankan secara bersama, barulah dunia akan melihat mereka sebagai entiti yang kuat, demikian pendapat yang diluahkan Tun Musa Hitam dalam bukunya, ‘Ekonomi Abad ke-21 di Dunia Islam’ yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur minggu lalu.
  Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) berpendapat, salah satu kekuatan negara Islam adalah penduduknya yang masih muda, namun mereka gagal mengambil kesempatan daripada potensi tenaga manusia ini yang begitu ramai.

  “Lebih ramai golongan muda kita menjadi konsumer daripada inovator. Mereka mempunyai otak yang cerdik, tetapi tidak berpendidikan. Mereka mempunyai bakat, tetapi tiada platform. Mereka mempunyai potensi, tetapi tiada ruang,” katanya.
  Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa perniagaan dan perdagangan adalah antara pendekatan terbaik bagi mencapai perdamaian antara negara.

  “Ada orang kata, ketegangan antara negara Islam dan Barat adalah antara masalah paling hebat dunia, tetapi jika kita meneliti dengan lebih dekat, kita mendapati bahawa ketegangan antara negara Islam sendiri pun boleh mewujudkan kegawatan. Perbezaan meluas dalam ideologi agama Islam turut menjejaskan bidang ekonomi dan sosial, sekali gus memecahbelahkan dunia Islam.
  “Namun bidang perniagaan dan perdagangan pula boleh mendorong negara Islam yang berkecimpung dalam bidang berkenaan untuk bersatu.

  “Apabila manusia bertemu antara satu sama lain untuk berniaga, mereka lupa mengenai perbezaan ideologi, agama dan politik kerana terdapat desakan bagi mereka mewujudkan keamanan dan kemakmuran. Tanpa keamanan dan kemakmuran, mereka tidak boleh berdagang,” kata beliau.
  Dalam ucapan alu-aluannya pada pelancaran buku berkenaan, Musa menegaskan bahawa bidang perniagaan tidak mengenali sempadan, agama atau kaum.

  “Inilah tujuan asas penubuhan WIEF iaitu untuk mewujudkan jambatan bagi dunia Islam dan bukan Islam,” katanya.
Beliau bagaimanapun berpendapat bahawa golongan muda dan wanita sering diketepikan oleh dunia Islam walaupun golongan berkenaan mewakili generasi paling penting pada masa hadapan.

 Justeru dalam menjalankan aktivitinya, WIEF turut memberi penekanan kepada program untuk golongan muda dan wanita khususnya di negara sedang membangun.
“Kita anjurkan bengkel dan seminar di mana mereka dilatih untuk memajukan diri dalam bidang yang diminati. Hanya dengan cara ini, dapat kita gembleng tenaga orang muda dan wanita ini agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia yang semakin mencabar ini,” kata beliau.

 Musa menegaskan, masa hadapan bagi dunia Islam terletak pada agenda ekonominya - bukan sekadar agenda politik atau agama. Di sinilah dunia Islam patut salurkan tenaga dan fokusnya, jauh daripada polemik dan ke arah sesuatu yang mempunyai kepentingan bersama.
  Pengerusi WIEF itu berkata, tiada apapun yang harus menghalang negara bukan Islam daripada menjalankan perniagaan dengan negara Islam.
                                                                                          
  “Terdapat banyak peluang dalam kalangan negara Islam dan WIEF berperanan menonjolkannya kepada kepada komuniti perniagaan sebagai alternatif kepada pasaran lama dan kaku.

  WIEF diasaskan daripada Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC). Ketika pertubuhan itu bermesyuarat di Kuala Lumpur pada 2013, satu ketetapan diambil bagi menubuhkan sebuah organisasi yang tiada kaitan dengan politik. Peranan utamanya adalah untuk bertindak sebagai platform bagi perniagaan, pelaburan dan perdagangan.

 “Inilah peranan WIEF. Selepas lapan tahun, cita-cita kami juga sudah berkembang. Kami ingin mewujudkan dunia Islam sebagai pakej kaukus perdagangan dan pelaburan yang lumayan, yang boleh menarik rakan kongsi daripada seluruh dunia.

  “Dengan cara itu kita dapat membentuk sebuah dunia lebih baik untuk hari esok,” kata Musa dalam bukunya. - Berita Harian, 2 April 2014