Friday, 12 April 2019

Terapkan budaya kebersihan secara besar-besaran

Bandar raya di seluruh negara kini menghadapi isu  pembuangan sampah yang meruncing apabila sampah sarap dibuang sesuka hati tanpa teratur dan bukan di tempat yang disediakan. Sudah tentunya kini ia menjadi isu yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.
Bandar raya Kuala Lumpur sudah tentunya juga tidak terkecuali daripada masalah ini, malah ia adalah isu yang perlu diberikan perhatian utama ketika ia meraikan sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari ini.
Warga kota menaruh harapan yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan baharu dan Menteri Wilayah, Abdul Khalid Samad, dalam usaha menangani masalah tersebut.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin baru-baru ini menyatakan bahawa kira-kira 60 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia gagal untuk membuang sampah ke dalam tong sampah walaupun ia disediakan di kebanyakan tempat. 
Beliau mahukan rakyat Malaysia menjana tabiat pembuangan sampah yang teratur dan perkara ini, tambah beliau, perlu ditangani bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersih. Menteri berkenaan menambah bahawa di kebanyakan negara maju, rakyatnya menyimpan sampah di dalam kocek atau beg tangan dan membawanya balik untuk dibuang ke dalam tong di rumah masing-masing.
Keadaan yang sama dilihat diamalkan terutama di Jepun apabila stesen trennya tidak langsung mempunyai tong sampah kerana penumpang kereta api membawa balik apa juga sampah yang ada di tangan mereka bagi membolehkannya dibuang dengan secara teratur di rumah.
Di negara kita, tong yang disediakan kelihatan melimpah dengan sampah-sarap yang banyak dan berbau busuk. Ramai juga penghuni bandar yang lebih suka membuang sampah di tempat lain atau di kawasan di mana sampah dilonggokkan, dan bukan di rumah sendiri.
Zuraida juga mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan mengadakan lebih banyak kempen publisiti bagi menimbulkan kesedaran orang awam terhadap amalan pembersihan dan pembuangan sampah yang lebih teratur dan efisien.
Katanya, persatuan penduduk juga boleh membantu menerapkan budaya pembuangan sampah dengan betul ini dalam kalangan penduduk di kawasan masing-masing.
Penulis ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada menteri berkenaan di atas cadangan dan keprihatinan beliau terhadap isu sampah ini. Namun selaku menteri, rakyat mengharapkan beliau mengorak langkah bagi melaksanakan program kesedaran ini di peringkat kementeriannya, dan bergabung usaha dengan Kementerian Wilayah.
Kita menghargai cadangan yang dikemukakan oleh beliau tetapi cadangan sahaja tidak memadai tanpa tindakan tegas oleh pihak berkuasa.  
Pembangunan bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor bahru, Ipoh dan Pulau Pinang tidak mempunyai erti sekiranya penduduknya tidak mengamalkan kebersihan. Amalan mengutamakan kebersihan adalah cerminan ketamadunan rakyat dan pihak PBT seharusnya memikul tanggungjawab ini dengan melaksanakan program yang melibatkan rakyat.
Justeru sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, warga kota menaruh harapan yang tinggi pada menteri baharunya supaya mengadakan kempen kebersihan secara besar-besaran. Kempen itu bukan sahaja melibatkan amalan pembuangan sampah yang teratur tetapi juga meliputi pembersihan di dalam penyediaan makanan dan kebersihan di gerai dan restoran, yang bebas daripada tikus dan ancaman penyakit yang lain.
Penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan dan mana-mana pihak yang didapati membuang sampah sesuka hati di tempat awam hendaklah dikenakan denda yang setimpalnya, seperti yang dilakukan di negara jiran.
Jadikanlah sambutan Hari Wilayah 2019 ini sebagai titik-tolak untuk dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang  bersih, nyaman dan selesa.
Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum ProjekMM. Artikel ini disiarkan pada             1 Februari 2019