Friday, 12 April 2019

UMNO-PAS ke arah membentuk APU 2.0


Pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari 2019  menyaksikan kerjasama antara parti Umno dan PAS menimbulkan satu persoalan apakah akan wujud satu lagi penyatuan politik Melayu-Islam  seperti yang berlaku pada tahun-tahun 1990-an dahulu?
Berikutan kerjasama tersebut, dalam PRK di Cameron Highlands itu, undi Melayu dan orang Asli dikatakan menjadi penyumbang terbesar yang menjuruskan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor. Perkara ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan ketika memberi reaksinya selepas keputusan diumumkan.
Dalam kenyataannya, beliau berkata agenda penyatuan ummah antara BN dan PAS itu menjadi penyumbang utama kepada kemenangan calon BN. Beliau juga mengakui bahawa kerjasama dan bantuan daripada PAS amat jelas sekali apabila pengundi daripada parti tersebut memberi undi mereka kepada calon BN.
Persetujuan kedua-dua parti ternyata berjaya menghasilkan keputusan yang dikehendaki. Pemimpin Pas yang menyeru ahlinya di kawasan berkenaan supaya mengundi calon BN mampu memberi kejayaan kepada calon berkenaan, sekaligus menjadikan Ramli ahli parlimen dari kalangan orang Asli pertama dipilih untuk menjadi anggota Dewan Rakyat.
Sementara itu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata PRK di Cameron Highlands akan menjadi pengukur bentuk kerjasama di antara PAS dan BN khususnya dalam menghadapi PRK Semenyih. Pilihan raya kecil Semenyih akan diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Baktiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu.
Soalnya, sejauh manakah kerjasama antara Pas dan Umno akan diteruskan hanya dapat ditentukan mengikut perkembangan politik seterusnya termasuk PRK Semenyih. Apakah ia akan membawa kepada pembentukan satu lagi wahana politik kemelayuan-Islam seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang pernah dibentuk pada 1990-an dahulu?

Ketika itu, parti yang menganggotai APU terdiri daripada PAS, parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), yang mana kesemua ahli parti berkenaan adalah beragama Islam.
Perikatan berkenaan pernah bertanding dalam PRU pada 1990 dan 1995 dan bekerjasama dengan parti bukan Islam seperti DAP dan Parti bersatu Sabah (PBS). APU kemudian dibubarkan pada 1996 selepas pemimpin parti Semangat 46 memutuskan untuk membubarkannya, menyebabkan ahlinya memasuki semula Umno ataupun PaAS.
Ketika itu, PAS bersetuju untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam termasuk DAP. Begitu juga ketika Pas berada di dalam pembangkang bersama Parti Keadilan Nasional (Keadilan), ia juga bekerjasama dan menerima DAP serta pemimpin DAP.
Pada PRU 1999, PAS bekerjasama dengan DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif (BA). Namun berikutan beberapa peristiwa yang berlaku selepas itu termasuk desakan PAS untuk membentuk negara Islam menyebabkan DAP menarik diri daripada gabungan tersebut pada 2001.
Tetapi kemudian, parti pembangkang seperti Pas, DAP dan Keadilan bergabung pula dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR) pada PRU 2008 yang menyaksikan senario politik tanah air mula berubah dan beberapa negeri yang sebelum pilihan raya ke-12 itu berada di bawah pentadbiran BN, jatuh ke tangan pembangkang.
Selepas itu Pas meninggalkan PR dan sebuah gabungan baharu ditubuhkan iaitu Pakatan Harapan dengan dianggotai parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara. Pecahan daripada parti Umno pula, Parti Pribumi Bersatu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berdasarkan senario di atas, kita lihat beberapa situasi di mana Pas keluar masuk pakatan politik tertentu berdasarkan perkembangan politik semasa. Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah dilaporkan menafikan PAS akan menjalinkan kerjasama secara khusus dengan Umno termasuk secara jangka masa pendek.
Katanya, “PAS tidak terikat dengan Umno dan Umno pun tidak terikat dengan kita, tapi lihat juga case by case, bergantung pada isu semasa di tempat itu, keperluan dalam konteks negeri, negara, rakyat Malaysia dan agama Islam”.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbuka PAS yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Lokman Nor Adam daripada Umno dalam usaha mengalahkan Pakatan Harapan di PRK Sungai Kandis Julai lalu.
Selain Tuan Ibrahim, Presiden Pas juga pernah menyatakan bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno dan menyifatkan Umno sebagai bahtera yang sudah bocor, yang boleh merosakkan parti Islam itu sekiranya mereka bersama.
“Ibarat Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama,” tegas Hadi.
Kenyataan-kenyataan tersebut mewajarkan timbulnya kebimbangan dalam kalangan anggota Umno dalam usaha kerjasama tersebut. Beberapa hari lalu, anggota veteran Umno, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyatakan kedua-dua parti pernah bermusuhan bertahun-tahun lamanya, oleh itu Umno perlu lebih berhati-hati tentang bentuk kerjasama yang dijalinkan dengan parti berkenaan.
Namun, di sebalik perasaan yang tersemat di sudut hati masing-masing, persinggahan mereka berikutnya adalah di kawasan DUN Semenyih. Di sini jugalah kedua-dua parti dikhabarkan akan mengadakan kerjasama.
Persoalannya bagaimanakah bentuk kerjasama Umno-Pas itu selepas ini?
Sekiranya persefahaman kerjasama di peringkat PRK ini dapat diterusnya dengan jayanya, ia dijangka akan menjurus kepada pembentukan sebuah lagi gagasan yang lebih besar seperti Angkatan Perpaduan Ummah 2-0.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum The Malay Mail Online edisi Bahasa Melayu. Artikel ini disiarkan pada 29 Januari 2019