Wednesday, 29 January 2014

Kapal layar Warisan Duyung GM1 kebanggaan GiatMARA

Buat julung kalinya GiatMARA mengambil inisiatif untuk memulihara dan mempraktikkan seni pembuatan kapal layar hasil tunjuk ajar seorang pembuat bot tradisional, Dr Abdullah bin Muda yang lebih mesra dikenali sebagai Haji Lah.

 Pembinaan kapal layar itu dilakukan di Pulau Duyung, Terengganu iaitu kawasan tidak asing lagi bagi peminat bot dari seluruh dunia. Pembinaan GM1 berukuran 18.2 meter panjang dan 5.181 meter lebar dengan kedalaman 3.04 meter itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan, lewat dua tahun daripada sasaran awal ekoran proses dokumentasi yang rumit.
 Akhirnya, projek kapal layar Warisan Duyung GM1 itu yang dimulakan pada November 2006 berjaya disiapkan pada 2010.

 Seramai sembilan orang terdiri daripada empat tenaga pengajar dan lima pelatih kursus Ketukangan Kayu, Gentian Kaca dan Teknologi Maklumat Pusat GiatMARA Terengganu terlibat secara langsung dalam pembinaan kapal layar Warisan Duyung itu.
  Apa yang menarik ialah kapal yang dibina menggunakan 45 tan kayu cengal itu tidak menggunakan paku, sebaliknya memakai kaedah pasak kayu dan skru serta mengekalkan ciri-ciri keaslian pembuatan kapal layar tradisional negeri Terengganu. Selain itu, ia dapat menampung 15 anak kapal dan mempunyai kapasiti simpanan air sebanyak 2,000 liter.

 Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail berkata pembinaan kapal layar Warisan Duyung GM1 dilakukan dengan tujuan untuk membangunkan kurikulum pembuatan kapal layar secara tradisional bagi mengekalkan serta memelihara seni warisan Melayu.
 “Apa yang paling membanggakan, semua tenaga pengajar dan pelatih yang terbabit dalam pembinaan kapal ini tidak mempunyai sebarang kemahiran membuat kapal sebelum ini,” ujar beliau.

 Katanya, masa yang agak lama diambil kerana ia bukan pembuatan kapal layar semata-mata tetapi juga proses pembelajaran secara langsung iaitu setiap apa yang dilakukan ditulis dan dirakamkan secara terperinci.
 Proses pembangunan modul latihan ini turut dibantu dua pakar yang dilantik daripada Universiti Kuala Lumpur (UNiKL) sebagai penasihat teknikal.

 Kapal layar pertama hasil buatan pertama GiatMARA itu kini digunakan untuk tujuan pelancongan di perairan Pulau Langkawi dan pernah menyertai Regata Antarabangsa Diraja Langkawi ke-10 pada 2012.
 GiatMARA kini merancang untuk membina kapal layar kedua selepas melihat kejayaan kapal pertama itu, kata beliau. - Berita Harian, 29 Januari 2014

Ada pelatih GiatMARA sudah jadi jutawan!

Perlu diakui program latihan Pusat GiatMARA memberi peluang kepada ramai pelatihnya  menjadi pekerja mahir atau menjalankan perniagaan, bahkan ada yang  mencecah kehidupan sebagai jutawan.

 Namun, masih ramai yang tidak mengenali peranan GiatMARA iaitu pusat latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, sehingga timbul pelbagai tanggapan tertentu mengenainya.
 Sejak pusat pertamanya ditubuhkan di Jitra, Kedah (kini dikenali sebagai Pusat GiatMARA  Kubang Pasu) pada 1986 lalu, agensi berkenaan sudah menjalankan latihan kepada  23,000 pelatih termasuk di beberapa negara dunia ketiga.

 Sekali gus, pencapaiannya itu dapat membantu kerajaan dalam usaha  membasmi kemiskinan dan mengurangkan pengangguran khususnya di luar bandar. 
 “Objektif berkenaan  sebahagian daripada indeks prestasi utama (KPI) kami,” kata Ketua Eksekutif GiatMARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail dalam  pertemuan di Ibu Pejabat GiatMARA di Medan Tuanku minggu lalu.

 Mohd Rosli menambah, selepas mengikuti latihan dengan Pusat GiatMARA, pelatihnya diharap dapat mentransformasi diri mereka untuk menjadi usahawan.
 “Atas sebab itulah kami menggabungkan latihan teknikal dengan ilmu keusahawanan dan mendapatkan sokongan pihak korporat dan premis perniagaan,” tambahnya.

 Latihannya ditumpukan pada 80 peratus latihan amali dan hanya 20 peratus teori. Pada masa ini,  GiatMARA mempunyai 231 pusat latihan yang mengajar 44 jenis kursus meliputi Teknologi Senibina, Mekanikal, Pengangkutan, Pengeluaran, Elektrikal, Komputer dan Teknologi Maklumat (IT), Elektronik dan Mekatronik, Fabrik, Percetakan, Kulinari, Kosmetik dan Dandanan Rambut serta Hospitaliti.
 Secara terperinci,   pelbagai kursus mikro, antaranya pengimpalan dan teknologi fabrikasi, pembaikan badan kenderaan dan teknologi mengecat, teknologi motosikal serta servis tayar ditawarkan.

 Ada juga pelatih yang mengikuti latihan dalam bidang teknologi seni reka dalaman dan perabot, pembinaan bot dan kerja penyelenggaraan, pemasangan wayar elektrik, seni grafik dan pengiklanan serta multimedia.
 Beberapa kursus menarik lain merangkumi teknologi percetakan, fotografi, penyediaan makanan, bakeri dan konfeksi, terapi hiasan muka serta perkhidmatan kekeluargaan dan penjagaan kanak-kanak.

 Kursus di pusat latihan GiatMARA itu boleh disertai  sesiapa saja asalkan mereka mempunyai minat tanpa mengambil kira latar belakang atau umur.
 “Walaupun syarat utama bagi pelatih ialah mereka harus boleh membaca, menulis dan mengira,  jika tidak boleh boleh membaca pun, kami masih menerima. 

 “Ada juga peserta Orang Asli di Pahang yang dilatih dan berjaya menjadi tukang gunting dan mekanik motosikal kerana mempunyai minat tinggi,” kata Mohd Rosdi.
  Keseluruhannya, 301,327 pelatih sudah menamatkan kursus masing-masing sejak 1986 termasuk 266,890 yang menjalani latihan sepenuh masa dan 29,965 separuh masa. Atas permintaan khas, GiatMARA juga menjalankan latihan dalam industri tertentu untuk kaum  India dan seramai 1,087 sudah lulus dan keluar untuk membuka perniagaan masing-masing.

 Selain itu, tambah Mohd Rosdi, sejumlah 1,161 pelatih dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut diambil  menjalani latihan dan daripada jumlah itu, 1,072 berjaya menamatkan program mereka.
  Katanya, sebagai pembekal tenaga mahir negara dan penyumbang kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), GiatMARA sudah melahirkan 8,948 usahawan yang mana kira-kira 85 peratus adalah pelatih kebolehpasaran.

 “Pelatih kami mendapat pengiktirafan agensi kerajaan dan swasta. MARA sentiasa bantu giat dalam usaha berkenaan.
 “Sebagai contoh, program semai bagi lepasan institusi pendidikan MARA (IPMA), agensi berkenaan menyediakan tabung khas tanpa cagaran bagi membolehkan mereka menjadi pekerja mahir dan usahawan,” ujarnya.

 Selain itu, GiatMARA juga menyalurkan pelatih yang ingin menyambung pengajian mereka pada  peringkat lebih tinggi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

 Katanya, kalau dulu orang memandang rendah  GiatMARA, kini persepsinya sudah berubah. GiatMARA kini sama taraf dengan kolej komuniti dan sekolah vokasional.  
 Pada 2014 pula, beliau menaruh harapan agar GiatMARA dapat melahirkan kira-kira 3,000 usahawan dan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan agensi luar bagi membolehkan mereka mendapat peluang menjadi usahawan.

 Mengenai perancangan masa depannya, Mohd Rosdi berharap kursus sedia ada dimantapkan di samping memperkenalkan kursus baru impak tinggi bagi industri.
 “Kita mahu pelatih  meningkatkan taraf latihan mereka, umpamanya jika mereka mengendalikan bidang automotif bagi industri kereta tempatan, selepas ini mungkin  mendedahkan mereka kepada kereta import.

 “Selama ini, kalau pelatih kita membuat kimpalan pagar rumah dan yang mudah, mereka boleh dipertingkatkan untuk melakukan kimpalan paip gas, kimpalan di  dalam air dan sebagainya,” katanya.
  Mohd Rosdi menambah, selain pelatih tempatan, GiatMARA  juga membantu rakyat di negara dunia ketiga seperti Kemboja, selatan Thailand, Timor Leste, Aceh dan Sudan.

 Terbaru, GiatMARA akan melangkah masuk ke Comoros di Afrika Timur berhampiran Madagascar, yang mempunyai 99 peratus penduduk Muslim. Bantuan GiatMARA di negara dunia ketiga ini adalah dalam bidang automotif, bangunan, elektrikal dan kimpalan.
 Bagi mengatasi masalah penempatan Pusat GiatMARA di sesetengah negeri, beliau berkata, pihaknya baru saja mengemukakan cadangan  membangunkan Edubizpark yang  mana latihan diadakan, barisan inkubator kedai di hadapannya dan orang kampung boleh guna kedai berkenaan untuk membeli barangan  diperlukan.

 Katanya, pusat GiatMARA di seluruh negara juga akan ditingkatkan menjadi Giat Prima, yang dilengkapi peralatan moden dan baru. Dua Giat Prima yang pertama sudahpun beroperasi di Ledang, Johor dalam bidang elektrikal dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang dalam bidang mekatronik.
 “Kalau selama ini kita guna Honda Cub untuk latihan, mungkin dengan adanya Giat Prima, kita tingkat kepada superbike,” katanya. - Berita Harian, 29 Januari 2014 

Friday, 24 January 2014

Harga barang: Kita perlu ada persatuan pengguna yang kuat

Sudah tiba masanya persatuan pengguna negara ini diperkasakan dan dianggotai lebih ramai ahli bagi membolehkan orang ramai lebih memahami isu kenaikan harga barangan yang sedang dihadapi sekarang ini.

 Berdasarkan hakikat bahawa pengguna mempunyai kuasa besar dalam menentukan naik turunnya harga barangan dan perkhidmatan, adalah wajar mereka turut berasa terpanggil untuk menyertai aktiviti kepenggunaan di negara ini.  Selaku pengguna, orang ramai tidak harus sekadar menunggu dan melihat apa akan berlaku,

   atau paling teruk, hanya pandai mengkritik, sebaliknya    mereka juga mempunyai peranan sama penting dengan    kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

 Orang ramai boleh membantu dengan mengenakan tekanan agar tidak ada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan  sesuka hati mereka.

Selaku pengguna, mereka boleh memainkan peranan dengan menentukan permintaan, sekali gus mempengaruhi harga di pasaran.

 Justeru, sewajarnya mereka turut membabitkan diri dalam persatuan pengguna atau program yang dianjurkan oleh pihak berkenaan. Melalui program seumpama itu, mereka boleh mendapat maklumat lebih jelas mengenai isu semasa ini dan memahaminya.

 Jika  perlu, mereka juga boleh memboikot barangan tertentu atau tidak membelinya daripada peniaga yang diketahui cuba mengaut keuntungan berlipat ganda dan mengambil kesempatan daripada tekanan ekonomi semasa ini.

 Lihat saja di negara Barat yang mana persatuan penggunanya begitu aktif hingga sukar bagi peniaga mengenakan harga tinggi sewenang-wenangnya.

Pembabitan masyarakat ini adalah sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan pengguna bertindak secara proaktif dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga yang dengan sengaja menaikkan harga barangan.

Pada masa ini, ada kira-kira 70 persatuan pengguna di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu, hanya 17 bergabung dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, keadaan ini adalah berbeza dengan kesedaran mengenai kepenggunaan di negara lain khususnya Eropah dan Amerika Syarikat yang mana persatuan penggunanya wujud dalam bentuk lebih kecil di daerah dan tempatan.

Beliau berharap semakin ramai tampil menyertai dan memberi sumbangan dan tenaga untuk menggerakkan aktiviti kepenggunaan di negara ini.

Sesuai dengan penekanan yang akan diberikan kepada peranan pengguna, Timbalan Presiden FOMCA itu berharap kerajaan akan memberi peruntukan khas tahunan kepada persatuan pengguna bagi membolehkan mereka bergerak aktif.

Beliau berpendapat, persatuan pengguna yang aktif dapat memberikan ruang kepada ahlinya memberi pandangan dan bukan sekadar menuding jari kepada kerajaan atau bercakap di belakang saja.

“Kalau persatuan sukan boleh mendapat peruntukan, kenapa tidak persatuan pengguna,” ujarnya.

 Di samping penubuhan persatuan pengguna, Sha’ani berpendapat adalah wajar juga Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga serta cawangan parti politik menubuhkan biro pengguna bagi mendedahkan kepada ahli mereka mengenai kesedaran kepenggunaan.

 Langkah ini adalah bagi memperlengkapkan usaha kerajaan yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan akta sedia ada.

 Adalah diharapkan tindakan ke atas peniaga tidak beretika ini dilakukan dengan tegas tanpa mengambil kira latar belakang atau pengaruh mereka. Ia juga hendaklah dilakukan dengan secara berterusan dan bukannya bermusim.
  
 Keputusan Kabinet menggalakkan semua menteri termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri supaya turun padang untuk meninjau situasi harga barang dengan lebih dekat sudah tentunya juga satu langkah yang baik.

 Ia seharusnya dicontohi oleh pemimpin peringkat negeri dan tempatan sebagai satu usaha bersama yang lebih tegas antara pemimpin dan rakyat bagi menangani isu kenaikan harga barangan yang sedang dihadapi sekarang. - Berita Harian, 23 Januari 2014

Thursday, 16 January 2014

Menteri, kerajaan perlu tegas dalam menangani isu kalimah Allah

 Umat Islam sudah tentunya menyambut baik langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Negeri bagi mempertahankan akidah Islam, khususnya bagi memelihara kesucian kalimah Allah.

 Serentak dengan itu, kita juga mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelmarin, bahawa kerajaan akan sentiasa mengawal dan mencegah propaganda fahaman pluralisme yang kian berkembang di negara ini.
  Dalam menghadapi isu sedemikian, ketegasan pihak berkuasa sememangnya amat diperlukan. Umat Islam sudah tentunya menaruh harapan kepada Jamil Khir untuk menangani apa juga masalah berkaitan agama Islam dengan tegas dan tidak membiarkannya berlarutan.

  Isu kalimah Allah itu timbul semula baru-baru ini apabila Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew berkeras untuk terus menggunakannya walaupun Sultan Selangor bertitah penggunaannya dihentikan serta-merta bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.
  Ini disusuli pula dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas pejabat Pertubuhan Bible Malaysia di Damansara diikuti dengan rampasan lebih 300 kitab Bible versi bahasa Melayu.

 Berikutan kenyataan paderi berkenaan, sebahagian besar pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan pelbagai pihak lain membuat laporan polis selain mengadakan bantahan secara terbuka.
  Jika isu ini tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Justeru, sebelum ia menjadi lebih besar, sewajarnya ia dibawa ke meja perbincangan dan diperjelaskan seperti `menarik rambut dalam tepung', rambut ditarik dan tepung tidak berselerak'.

 Isu ini boleh dirumuskan daripada beberapa aspek berikut: Iaitu orang bukan Islam di negara ini berpendapat kononnya mereka boleh sewenang-wenangnya menggunakan kalimah Allah kerana secara universal ia membawa erti yang sama dengan Tuhan.
  Dalam konteks kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, mereka hendaklah memahami sensitiviti kaum lain seperti diamalkan sebelum merdeka lagi. Justeru, untuk menyatakan bahawa kalimah Allah secara relatifnya juga memberi pengertian Tuhan untuk agama lain adalah tidak sesuai konteksnya dengan keadaan kita di negara ini buat masa ini.

 Walaupun penggunaan kalimah berkenaan oleh gereja tiada kaitan langsung dengan usaha untuk memurtadkan orang Islam, namun dalam suasana keterbukaan dan kebebasan itu, tiada jaminan bahawa ia boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan.
  Ada pihak mungkin berpendapat kekeliruan tidak berlaku jika iman dan akidah umat Islam itu kukuh. Realitinya, bukan mudah untuk menentukan tahap keimanan seseorang walaupun secara hakikinya semua orang Melayu di negara ini menganuti agama Islam.

 Masih ada beberapa kes terpencil yang mana ada kalangan orang Melayu terpesong akidahnya atas beberapa sebab termasuk terpengaruh dengan orang lain dan sebagainya.
Maknanya, kita belum bersedia untuk menerima kesejagatan dalam penggunaan kalimah Allah seperti diinginkan oleh kelompok tertentu di negara ini.

 Apapun, penyelesaian kepada isu ini perlu bersandarkan kepada kewarasan dan bukannya emosi. Pendirian beberapa pihak seperti Presiden Majlis Perundingan Buddhist, Kristian, Sikh dan Tao mengenai perlunya diadakan dialog adalah langkah terbaik bagi mengelak pergeseran antara kaum.

 Begitu juga dengan langkah yang bakal diambil Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang baru ditubuhkan yang mahukan isu serbuan dan rampasan Bible itu diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan perpaduan nasional.
  Dalam pada itu, kedua-dua pihak perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan selama ini. Mereka hendaklah berhati-hati agar tidak ada elemen ketiga yang cuba mengambil kesempatan daripada isu berkenaan untuk melagakan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 Ura-ura pihak tertentu untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 bukan saja tidak membantu situasi dihadapi sekarang, bahkan menambahkan kekeruhannya. - Berita Harian, 16 Januari 2014

Betulkan persepsi terhadap Islam - Erdogan

Kuala Lumpur menjadi platform penting kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk menjelaskan pendiriannya mengenai Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

 Mesej beliau pada Jumaat lalu dalam isu berkenaan adalah jelas, bahawa Islam adalah agama kedamaian dan tidak harus disalah tafsir atau diperalatkan oleh mana-mana pihak. Agama dan keganasan tiada kaitan. Bahkan semua agama terutama Islam tidak menyokong keganasan.

Namun, masih ada golongan yang menyalah gunanya dengan melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan nama Islam sendiri. Masalah tertentu yang dilakukan oleh sesetengah golongan ini menyebabkan seluruh umat Islam dunia dikaitkan bersama.
Keganasan adalah perbuatan jenayah dan kempen untuk mencerca dan menghina nama Islam ini dilakukan dengan secara berterusan.

Golongan ini tidak langsung membantu agama Islam. Malangnya ada pihak yang mengaku diri mereka sebagai orang Islam tapi sanggup melakukan pembunuhan termasuk ke atas kanak-kanak.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyekatnya, kata Perdana Menteri Turki itu ketika menyampaikan Syarahan Ulung Tun Razak bertajuk `Mentransformasi Asia-Pasifik dan Turki' dalam lawatan dua harinya ke Kuala Lumpur Khamis dan Jumaat lalu.

 Syarahan anjuran Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketibaan kedua-dua pemimpin ini pada majlis itu diberi tepukan gemuruh.
Erdogan menegaskan, Turki sememangnya menentang segala bentuk keganasan. Dalam isu Palestin di mana Israel melakukan pencerobohan ke atas penduduk Islam di Gaza, kelantangan Erdogan sememangnya dikenali dunia.

 Masih segar dalam ingatan kita bagaimana beliau menempelak Presiden Israel, Shimon Peres pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland (WEF) pada 2009 lalu, ketika sidang plenonya sedang hangat berdebat mengenai serangan tentera Zionis ke atas Gaza.

Selepas membidas pemimpin Israel itu kerana menghalalkan pembunuhan di Palestin, lalu beliau pun bergegas bangun dan meninggalkan forum berkenaan dengan berjalan di hadapan Peres.
Namun, walaupun sebagai ahli politik, beliau juga tidak terlepas daripada cabaran di negaranya sendiri seperti dihadapinya sekarang, pendirian yang dipegangnya itu tetap tidak berubah apabila ia menyentuh isu mengenai ancaman terhadap umat Islam dunia.

Katanya, Ankara sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan Kuala Lumpur dalam usaha membersihkan tanggapan salah masyarakat dunia yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Sambil mengecam sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap tindakan rejim Israel menindas rakyat Palestin, beliau menegaskan semua pihak sepatutnya berasa bertanggungjawab untuk membela umat Islam.

Malaysia dan Turki, tambahnya, adalah bukti nyata dan contoh terbaik demokrasi dan Islam boleh wujud secara sealiran.

"Kami menganggap Malaysia sebagai saudara yang begitu dekat di hati kami. Persaudaraan ini harus diteruskan dan saya mengalu-alukan sesiapa saja dari Malaysia ke negara kami," kata beliau.
Katanya, hubungan Turki dengan negara di rantau ini sudah dijalinkan sejak dahulu lagi, lanjutan daripada usaha yang dimulakan oleh Empayar Uthmaniah di mana Turki pernah membantu dan berjuang bersama umat Islam di Andalusia, Aceh, Sumatera dan Melaka.

 Erdogan berada di Malaysia dalam rangka lawatan kerja dua hari sebagai menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Turki yang wujud pada 1964.

 Dalam lawatan singkatnya itu, pemimpin Turki itu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan daripada Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 Ia adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau memacukan kejayaan Turki serta satu pengiktirafan kepada Erdogan yang banyak memperjuangkan amalan demokrasi, hak asasi, kebebasan serta pendekatan kemanusiaannya dalam menyelesaikan pelbagai konflik.
  Harapannya agar kerjasama ekonomi kedua-dua negara dapat dipertingkatkan menerusi Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja untuk Kerjasama Strategik. Malaysia dan Turki juga berharap dapat menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April depan di Ankara bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala. - Berita Harian, 14 Januari 2014

Friday, 10 January 2014

Hubungan istimewa Ankara - KL perlu diperkukuhkan

Malaysia bukan saja mempunyai hubungan akrab dengan Turki tetapi juga persamaan dalam banyak perkara termasuk perjuangan untuk menyelamatkan umat Islam yang ditindas di Palestin dan kumpulan etnik Rohingya di Myanmar.

  Kedua-dua negara juga pernah menyertai misi bersama antarabangsa bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 2010. Misi yang dianjurkan Yayasan Keamanan Global (GPF) untuk Malaysia itu menggunakan kapal MV Mavi Marmara milik Turki.

  Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini hari ini, juga bukan tokoh asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketegasan beliau dalam isu Palestin serta kekejaman Israel sememangnya diketahui umat Islam di seluruh dunia.

  Erdogan, yang mengetuai delegasi 97 orang terdiri daripada pemimpin barisan tertinggi negaranya termasuk Timbalan Perdana Menteri serta tujuh menteri - yang mewakili hal ehwal Eropah, ekonomi, pengangkutan, hal ehwal maritim dan komunikasi, belia dan sukan, pertahanan serta alam sekitar dan tenaga, menunjukkan betapa kerajaan Turki meletakkan keutamaan tinggi dalam hubungannya dengan Malaysia.

  Dalam lawatan itu, beliau turut diiringi isterinya, Emine Erdogan dan beberapa Ahli Parlimen dan pegawai tinggi kerajaan.

  Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Najib sendiri pernah melakukan lawatan bersejarah ke Ankara dan Istanbul pada Februari 2011, selepas 28 tahun sejak lawatan terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983.

  Lawatan Erdogan hari ini juga mengambil sempena ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Turki pada 1964 dan sudah tentunya kunjungan beliau kali ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang membina dan positif.

  Selain komitmen dalam perjuangan menentang kekejaman Zionis di Palestin, kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai bidang lain.

  Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, berkata Malaysia dan Turki adalah antara segelintir negara di dunia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

  Kedua-dua negara juga, tambahnya, boleh dianggap lebih maju daripada negara lain yang juga menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

  “Kita berpegang pada pemerintahan awam melalui sistem demokrasi berparlimen dan bukannya pemerintahan tentera.

  “Dari segi sejarah Turki mungkin ada kelainan sedikit sebelum ini, kadangkala diperintah oleh orang awam dan kadangkala oleh tentera. Tapi sejak 11 tahun lalu, Parti AKP pimpinan Erdogan terus berpegang pada pemerintahan awam,” kata beliau.

  Satu lagi persamaan kedua-dua negara ialah ekonominya yang berorientasikan pasaran dari segi pelaburan, pembangunan prasarana dan sosial. Kedua-duanya juga mempunyai kelas menengah yang tinggi.

  “Jika dilihat dari segi sejarah, zaman Kesultanan Melayu Melaka dulupun sudah mempunyai hubungan dengan Empayar Uthmaniah.

  “Kita tahu latar belakang pengasas UMNO, ibu Datuk Onn Jaafar adalah orang Turki kerana hubungan antara Sultan Abu Bakar dengan pemimpin Uthmaniah dulu. Maknanya Tun Hussein Onn dan keluarganya juga mempunyai darah Turki.

  “Begitu juga dua bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz dan Prof Syed Hussein Alattas,” kata Dr Chandra.

  Selain itu, Presiden JUST itu menambah, keakraban kedua-dua negara juga dapat dilihat menerusi jalinan bandar raya berkembar antara Johor Bahru dan Istanbul.

  Dari segi perjuangan, Chandra berkata, di samping Palestin, Turki dan Malaysia juga menyokong  hak rakyat Rohingya dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

 “Semua ini menjadikannya sebab kenapa hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Ankara ini harus diperkukuhkan,” kata beliau.

  Hari ini, selain pertemuan dua hala dengan Najib, Erdogan dijadualkan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Transformasi Asia Pasifik dan Turki’ pada Majlis Syarahan Terkemuka Tun Abdul Razak anjuran Yayasan Penyelidikan mengenai Transformasi (FORT) dan Razak School of Government (RSOG).

  Beliau juga akan menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan oleh Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) iaitu institusi penyelidikan dan kesarjanaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - Berita Harian, 10 Januari 2014

Thursday, 2 January 2014

Kenapa azam tahun baharu kita cepat pudar?

1 Januari - Hari ini adalah hari pertama 2014. Tepat pada detik 12.00 minit malam tadi, kita baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada 2013. Pada hari ini, kita membuka satu lembaran baru dalam kehidupan selama setahun lagi selagi masih ada umur.

 Bak kata pujangga, tahun baharu adalah seperti muka surat kosong pertama daripada buku setebal 365 muka. Oleh itu tulislah dengan sebaik mungkin.
  Apakah azam kita pada 2014 ini? Selalunya kita akan mendengar orang berkata mereka ingin menambahbaik kehidupan dengan pelbagai cara.

 Mungkin ada yang berazam untuk mengawal pengambilan makanan menggemukkan dan ingin lebih banyak beriadah atau ke gimnasium untuk mengurangkan berat badan.
 Mereka yang belum berkahwin pula ingin menamatkan zaman bujang tahun ini atau melunaskan hutang kad kredit. Ada juga yang mungkin berazam untuk minum lebih banyak air atau makan lebih banyak sayur-sayuran serta makanan berserat.

 Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula tentunya berazam untuk menambah lagi rezeki sama ada dengan bekerja lebih keras atau mencari pekerjaan baru bagi menampung pelbagai kenaikan kos tahun ini.
  Apapun, dari segi ekonomi, harapan rakyat ialah agar pertumbuhan tahun ini meningkat manakala kadar inflasi kekal stabil dan tidak membebankan supaya kualiti kehidupan terus berada pada paras yang baik atau sekurang-kurangnya tidak mengalami penurunan.

 Kerajaan juga sudah mengumumkan 11 langkah berjimat dalam usaha mengurangkan perbelanjaan sektor awam mulai hari ini. Selaras dengan tindakan itu, semua pihak turut digalakkan supaya mengamalkan penjimatan bagi mengatasi beberapa peningkatan kos tahun ini.  
  Tidak kira apapun azam yang ditanam dalam sanubari, yang penting ialah semua orang ingin membuka buku baru sempena tahun baru ini. Semuanya bertujuan memperbaiki kelemahan dan membetulkan kesilapan lalu.

 Tidak salah bagi kita menanamkan azam kerana ia menunjukkan bahawa kita adalah golongan manusia yang masih ada cita-cita dalam kehidupan. Orang yang tidak ada azam tidak ada arah tujuan dalam hidup mereka.
  Tetapi sejauh manakah kita mampu memenuhi azam kita pada tahun lalu? Satu kajian oleh Universiti Scranton, Pennsylvania (BH Ahad, 29 Disember) menyatakan bahawa kira-kira 40 peratus daripada manusia membuat azam setiap kali tibanya tahun baru.

 Namun, menurut penyelidiknya, Dr John Norcross, minat untuk menyempurnakan azam itu merosot dalam tempoh enam bulan selepas itu. Kajiannya mendapati azam berada pada tahap 71 peratus selepas dua minggu, kemudian jatuh kepada 64 peratus selepas sebulan dan 46 peratus selepas enam bulan.
  Akhirnya, azam untuk kurus, contohnya, akan hanya tinggal sebagai azam, begitu jugalah dengan azam untuk bekerja kuat akan terus berada pada tahap mendatar, sama seperti tahun sebelumnya.

 Kenapakah sukar untuk kita mengekalkan azam tahun baru? Masalahnya ialah kita selalunya hanya bersemangat pada peringkat permulaan tetapi kemudian menjadi bosan kerana tidak nampak hasilnya dalam tempoh singkat.
 Kata Profesor Meg Meloy daripada Pennsylavania State University, kesukarannya timbul kerana kita sentiasa berhadapan dengan cabaran tempoh masa. Kalau kita tidak sabar, sudah tentunya matlamat yang ditetapkan itu tidak akan dicapai.

 Justeru, cabaran pertama kita pada hari ini ialah untuk mengubah sikap lama. Ia bukannya sesuatu yang mudah dilakukan dan memerlukan kesedaran serta komitmen tinggi daripada setiap individu.
  Sebagai orang awam, kita mungkin boleh membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menjadikan Malaysia negara lebih bersih dengan tidak membuang sampah di merata tempat. Gerai dan kedai makanan juga mesti bersih dan bebas daripada makhluk perosak seperti tikus, lipas, semut dan lain-lain.

  Kenapa kita tidak boleh menjadi sebersih sesetengah negara maju sama ada di Eropah mahupun di Australasia? Isunya di sini ialah sama ada kita mahu ataupun tidak. 
  Marilah kita mula mengisi ruang kosong dalam muka surat pertama tahun ini dengan sesuatu yang lebih bermakna. Langkah paling mudah ialah dengan tidak membuang sampah dengan sesuka hati tetapi di tempat yang disediakan.

 Selamat menyambut tahun baharu!

CUEPACS utamakan pendekatan musyawarah

Temuramah dengan Timbalan Presiden 1 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail. 

Selain Mohd Azih Muda yang dipilih sebagai Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Konvensyen Tritahunan kongres berkenaan yang berlangsung pada 18 Disember lalu turut memilih Zainal Ismail, 57, sebagai Timbalan Presiden I dan Mohd Shaman Jaes, 54, sebagai Timbalan Presiden II bagi penggal 2013-2016. Dalam temu bual bersama wartawan BH, kedua-dua Timbalan Presiden CUEPACS itu menegaskan bahawa rundingan antara kesatuan berkenaan dengan kerajaan hendaklah dilakukan mengikut pendekatan perkongsian bijak dan bukannya secara konfrontasi, demonstrasi atau piket. Mereka juga berikrar untuk meneruskan agenda utama CUEPACS bagi menjaga kebajikan selain meningkatkan produktiviti pekerja dalam perkhidmatan awam.

Wartawan: Boleh saudara ulas kemenangan sebagai Timbalan Presiden?

Zainal: Saya beranggapan bahawa kemenangan ini adalah  tanggungjawab paling besar dan berat kerana kita akan memperjuangkan pelbagai tuntutan khususnya yang masih belum selesai. Apabila mantan Presiden, Datuk Omar Osman meninggalkan CUEPACS, beliau meletakkan kesatuan ini pada landasan yang cukup cemerlang. Oleh yang demikian, saya berasakan tanggungjawab untuk menegakkan kecemerlangan ini sebagai tanggungjawab besar, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan pekerja. Hari ini kita fokus pada gred perjawatan yang masih belum selesai. Kita masih ada lebih 168 gred yang akan diperjuangkan selain elaun kakitangan awam. Di samping itu, kita akan terus memberi kesedaran kepada kakitangan sektor awam supaya meningkatkan lagi produktiviti dan memberi sokongan dalam merealisasikan transformasi Perdana Menteri.
S: Oleh kerana ada dua Timbalan Presiden, apakah skop tugasnya berlainan?

J: Walaupun pada dasarnya timbalan I, timbalan II mungkin diberikan skop berlainan, bagi saya, tiba masanya kami perlu bekerja dalam satu pasukan. Kejayaan CUEPACS bukan terletak pada kepemimpinan,  tapi kekuatan pasukan. Kalau semua sembilan pegawai utama ini kita tidak begitu menjaga protokol atau terlalu kisah dengan jawatan yang dipegang dan bekerja sebagai satu pasukan, sudah tentunya kami dapat mengekalkan legasi yang ditinggalkan oleh Omar.
S: Cabaran  dihadapi CUEPACS dalam tempoh tujuh tahun lampau begitu mencabar. Banyak juga hasil dicapai, apa hala tuju kesatuan ini seterusnya dari pandangan saudara?

J: Hala tuju yang tak lain dan tak bukan kita adalah untuk memastikan kakitangan kerajaan mendapat kadar upah setimpal apabila negara mencapai taraf negara maju. Yang kedua, kita juga perlu mengambil kira kakitangan awam yang sudah bersara. Matlamat kita ialah kakitangan awam apabila bersara daripada jabatan, juga menjadi pesara yang tidak menghadapi masalah dari sudut  kewangan. Sekurang-kurangnya kita hendak memberikan satu persaraan yang bahagia dari segi pendapatan dan kehidupan persaraannya.
S: Selain perwakilan, terdapat ramai ahli di seluruh negara yang ingin mendengar apa mesej daripada Timbalan Presiden I?

J: Kita jangan sesekali menganjurkan sistem konfrontasi. Kita perlu mengamalkan sistem smart partnership atau perkongsian bijak. Kalau kita lihat ada kesatuan tertentu yang mengamalkan sikap konfrontasi atau mengadakan piket dan sebagainya, jelas bahawa ia tidak boleh menyelesaikan masalah. Kita juga perlu ingat bahawa dalam tuntutan yang dibuat, kita tidak akan mendapat semua. Ia bergantung pada kemampuan kerajaan yang kita anggap sebagai ibu ataupun bapa kita. Kadang-kadang ada perkara yang kita akan dapat, walaupun memakan masa lama, contohnya macam hari ini kepemimpinan lama memperjuangkan apa yang kita dapat, mungkin kepemimpinan lama tidak mendapat manfaat daripada itu. Kita perlu bersabar dari segi perjuangan ini dan kita akan bersungguh-sungguh  mendapatkannya, tetapi tidak melalui konfrontasi, tidak melalui tunjuk perasaan, kita tidak mengamalkan piket dan sebagainya,  tetapi dalam sistem musyawarah dan permuafakatan dari segi konsep pekerja-majikan yang terbaik.
S: Masih ada  ahli yang  ingin mengenali latar belakang saudara?

J: Saya adalah kakitangan Lembaga Air Perak dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak. Di samping itu, saya adalah Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Kuala Kangsar. Saya mendukung penuh konsep kerajaan dan menyokong penuh kerajaan yang ada. Saya juga diberi amanah memegang jawatan sebagai  ahli jawatankuasa pusat UMNO bahagian di  Parlimen Kuala Kangsar. Matlamat saya pada hari ini, kita hendaklah sealiran dari segi perjuangan dan dengan apa  dihajatkan  kerajaan serta tuntutan pekerja bukan melalui pertelingkahan. - Berita Harian, 1 Januari 2013

 

Teruskan semangat setiakawan dalam CUEPACS - Shaman

Temuramah dengan Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Shaman Jaes

Wartawan: Boleh saudara mengulas kemenangan sebagai Timbalan Presiden CUEPACS II yang baru?
Shaman: Saya bersyukur terpilih bagi jawatan ini. Kemenangan ini bermakna saya perlu memikul tanggungjawab  diberikan dengan sebaik mungkin. Saya yakin boleh menjalankan tugas dan kerja yang bersangkut paut dengan tugas Timbalan Presiden, yang tentunya membantu Presiden yang baru dipilih. Tentunya skop perjuangan itu adalah untuk meneruskan kecemerlangan kepemimpinan dulu yang tujuan dan objektifnya adalah sama iaitu untuk meningkatkan kebajikan dan produktiviti, bukan saja kepada keluarga pekerja dan CUEPACS,  tetapi juga kita dapat melihat keberhasilannya. Pada masa sama kita bekerjasama sebagai satu smart partnership dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau kerajaan khususnya. Itu yang saya cuba laksana sedaya upaya mengikut landasan atau tata tertib, bukan sahaja sebagai pegawai kerajaan,  tetapi mengikut formula dan terma kerajaan.

S: Bagaimana boleh saudara bantu tugasan Presiden memandangkan kedua-dua Timbalan Presiden adalah baru dan memegang jawatan tertinggi ini buat pertama kali?

J: Pada saya langsung tidak timbul masalah untuk bekerjasama kerana sebelum ini pun saudara Azih Muda adalah Timbalan Presiden. Saya selaku Pengerusi CUEPACS Negeri Johor sering menghadiri mesyuarat berkala kongres serta mesyuarat khas. Kami selalu bertukar-tukar fikiran sama ada di luar atau di dalam forum bagi membincangkan beberapa perkara yang boleh diselesaikan pada  peringkat mesyuarat atau selepas itu. Pada saya, ini satu lanjutan daripada kerjasama yang sedia ada ketika  beliau menjadi timbalan dan sebagai ahli kongres. Saya memang boleh bekerjasama kerana saya bukan dari aliran berbeza. Mungkin dalam pertandingan ini ada kem dan sebagainya, tetapi saya tidak ada di mana-mana kem. Saya menyokong kemenangannya dan tidak ada masalah bagi saya bekerjasama.
S: Apa fokus saudara dalam membantu meneruskan legasi kecemerlangan CUEPACS untuk tiga tahun berikutnya?

J: Sekarang ini apa yang kita hadapi ialah transformasi dalam perkhidmatan awam yang  mana kerajaan melaksanakan 81 skim melalui semakan yang dilakukan dan masih berbaki lebih 100 skim. Bagaimanapun ada beberapa skim yang dilaksanakan juga mendapat pandangan berbeza daripada ahli dan warga pekerja itu sendiri, terutama yang masih belum dibuat semakan. Sudah tentunya  ada keputusan yang tidak dapat memuaskan hati semua warga pekerja. Elemen ketidakpuasan hati itu mungkin kita dapat kutip dan huraikan melalui perbincangan dengan kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu agensi yang bertanggungjawab. Kita cuba membentuk satu pendekatan yang memuaskan hati kedua-dua pihak. Saya yakin kami dapat memberi fokus kepada gred atau perubahan yang dilakukan hasil daripada transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
S: Mungkin saudara mempunyai pesanan tertentu untuk ahli CUEPACS seluruhnya?

J: Saya ingin berpesan agar diwujudkan terus semangat setiakawan walaupun ada yang kalah bertanding melalui persatuan masing-masing. Kita bertanding dalam semangat demokrasi dan ia adalah pertandingan sihat. Selesai pertandingan, kita bertaut semula untuk mengukuhkan perjuangan dan barisan. Saya minta ahli yang bergabung dalam CUEPACS supaya menyokong saya dengan memberi dorongan dan mendoakan agar dapat saya menjalankan tugas dengan berkesan dan menjayakan misi perjuangan CUEPACS yang akan dihadapi dalam tempoh perubahan akan datang.
S: Saya percaya ahli CUEPACS di seluruh negara dan orang ramai ingin mengenali saudara dengan lebih dekat lagi?

J: Saya adalah Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia. Saya berkhidmat di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Johor.  Walaupun saya daripada Kumpulan J (Kejuruteraan) tapi sebagai Timbalan Presiden CUEPACS, saya harus menjadi pemimpin yang bukan saja berjuang untuk satu-satu gred saja tapi juga untuk semua gred. - Berita Harian, 1 Januari 201